Kegagalan NGPV berulang

NGPV
NGPV
A
A
A

KENYATAAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat berhubung status terkini program pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) amat mendukacitakan.

Mengikut perancangan, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), malangnya sehingga kini belum ada kapal disiapkan. Tambah mengecewakan apabila pembinaan kapal keenam pula belum dimulakan.

Kapal perang kelas Maharaja Lela yang dibina mengikut rekaan Korvet Gowind 2500 sepatutnya menjadi aset yang dibanggakan TLDM. Ia memiliki keupayaan peperangan empat dimensi serta dilengkapi sistem pengurusan peperangan terkini.

Kelewatan pembinaan kapal-kapal berkenaan pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu, namun apa pun alasannya kegagalan menyiapkan LCS sukar diterima kerana ia melibatkan sebuah syarikat pembinaan kapal terulung negara.

Perkembangan mutakhir projek bernilai RM9.1 bilion itu menyebabkan TLDM berada dalam dilema apabila harapan untuk mengoperasikan kapal perang termoden terus samar-samar.

Apatah lagi dengan situasi semasa di Laut China Selatan serta kekangan untuk melaksanakan operasi maritim lain, maka kerajaan pada masa sama harus memikirkan langkah segera bagi mengatasi isu kapal-kapal berusia yang masih dioperasikan TLDM.

Walaupun program LCS masih boleh diselamatkan berdasarkan opsyen yang dikemukakan Kementerian Pertahanan (Mindef), tetapi ia jauh daripada keperluan sebenar apabila hanya dua buah kapal diteruskan berbanding enam.

Situasi yang berlaku itu juga menunjukkan pihak yang terlibat dalam program pembinaan LCS termasuklah daripada Mindef sendiri seolah-olah tidak belajar daripada kegagalan projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) TLDM kira-kira 22 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Syarikat yang dilantik, PSC-Naval Dockyard (PSC-ND) gagal memenuhi kontrak bernilai RM5.4 bilion untuk membekalkan kapal NGPV termasuklah kegagalan untuk memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dari sudut teknikal dan operasi.

Kepincangan PSC-ND turut memberi kesan apabila ia gagal melunaskan bayaran berjumlah antara RM2 juta hingga RM15 juta kepada 40 buah vendor yang terbabit.

Berbeza di seberang tambak Johor, tiga buah kapal misi pesisir (LMV) terbaharu Tentera Laut Republik Singapura (RSN) mencapai status operasional pada penghujung Januari lalu melengkapkan lapan buah kapal kesemuanya yang merupakan binaan tempatan.

LMV itu membuktikan ketelitian perancangan pihak RSN, Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan Singapura serta syarikat pembinanya, ST Engineering apabila berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai lima tahun selepas dilancarkan.

ST Engineering juga sebelum ini telah membina lima frigat halimunan kelas Formidable menerusi kerjasama dengan Perancis.

Kini, Singapura sedang merancang pembinaan kapal perang pelbagai peranan (MRCV) iaitu kapal tempur berciri sofisikated. Siap kelak ia bakal menjadi kapal perang termoden di rantau ini.

Rancangan Singapura hendak memulakan program ini pada tahun 2025 dengan jangkaan pembinaan kapal dapat dijayakan lima tahun kemudian. RSN bukan angkatan besar tetapi ia memiliki perancangan yang bijak.

Kerajaan pada masa sama harus memikirkan langkah segera bagi mengatasi isu kapal-kapal berusia yang masih dioperasikan TLDM.”