Pengajaran kluster Sivagangga

Pada 28 Julai, KKM mengesahkan salah satu daripada 2 kluster baharu yang dikesan iaitu, kluster PUI Sivagangga, India adalah berpunca daripada pelanggaran perintah kuarantin rumah.
Pada 28 Julai, KKM mengesahkan salah satu daripada 2 kluster baharu yang dikesan iaitu, kluster PUI Sivagangga, India adalah berpunca daripada pelanggaran perintah kuarantin rumah.
A
A
A

SEJAK 3 April, seramai 50,873 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib di 150 pusat kuarantin seluruh negara. Namun bermula 10 Jun lalu, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara hanya perlu menjalani kuarantin di rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan peraturan itu atas faktor jumlah rakyat Malaysia dari luar negara yang positif Covid-19 selepas 14 hari hanya sekitar satu peratus selain kes positif Covid-19 di negara lain di seluruh dunia juga terkawal, malahan kerajaan juga berjaya meningkatkan keupayaan melakukan ujian saringan di pintu masuk.

Tetapi, akibat segelintir individu yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) HSO yang ditetapkan di samping berlaku penularan jangkitan kesan pelanggaran SOP terbabit, maka sejak 24 Julai lalu kuarantin wajib di rumah tidak lagi dibenarkan.

Mereka yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di enam hotel dan tiga Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Dalam usaha mengekang penularan kes Covid-19, pematuhan sepenuhnya terhadap perintah kuarantin adalah sangat penting. Kajian pemodelan mendapati bahawa langkah kuarantin dapat mengurangkan bilangan pesakit dan kematian.

Statistik menunjukkan sejak pelaksanaan HSO, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengesan 647 kes positif dalam kalangan pengembara termasuk rakyat Malaysia dan pemastautin tetap. Natijahnya, walau hanya segelintir individu melanggar SOP ketika menjalani HSO, kesan penularan tetap ada khususnya merisikokan penularan Covid-19 kepada orang terdekat.

Menurut Pakar Epidemiologi, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, sekiranya seseorang itu adalah super spreader iaitu individu berisiko menular jangkitan secara lebih meluas, ia bukan hanya menyebarkan jangkitan yang membabitkan ahli keluarga, malah orang lain sekiranya individu terbabit gagal memahami dan mematuhi SOP kuarantin.

Peraturan sedia ada mewajibkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara perlu menjalani kuarantin di rumah.

Artikel Berkaitan:

Namun, apabila terdapat segelintir individu yang ingkar dan tidak mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan di bawah HSO, berlakulah apa yang menjadi kerisauan KKM iaitu kewujudan kluster baharu yang akhirnya menyebabkan penularan kes jangkitan kepada kontak dan individu lain.

Pada 28 Julai, KKM mengesahkan salah satu daripada 2 kluster baharu yang dikesan iaitu, kluster PUI Sivagangga, India adalah berpunca daripada pelanggaran perintah kuarantin rumah.

Kesan

Kes indeks kluster PUI Sivagangga ialah seorang pemastautin tetap yang merupakan pemilik restoran yang pulang dari India pada 13 Julai lalu dan keputusan saringan Covid-19 adalah negatif.

Beliau diarahkan menjalani HSO di rumah, tetapi didapati tidak mematuhi SOP KKM sebaliknya ke premis perniagaan berkenaan sebelum penularan jangkitan di kawasan tersebut berlaku.

Individu terbabit telah disahkan positif Covid-19 ketika menjalani saringan ulangan. Namun, ia telah menjangkiti ahli keluarga dan rakan sekerja yang lain selain menular kepada 11 individu lain menjadikan keseluruhannya 20 kes.

Lantaran itu, KKM mengambil langkah drastik dengan melakukan pengesanan terhadap kontak rapat dilaksanakan secara giat di pejabat-pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mencegah penularan Covid-19 di Kedah yang didapati semakin meningkat.

Malah, lima buah sekolah di dua daerah di Kedah juga diarahkan tutup. Terdahulu, sebanyak 73 tabika dan tiga taska di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kubang Pasu turut ditutup.

Kerajaan Kedah juga memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di empat mukim yang terjejas akibat penambahan 11 kes aktif Covid-19 bagi kluster tersebut.

Inilah ‘akibat’ yang terpaksa ditanggung gara-gara tidak mematuhi SOP sepenuhnya. Semoga kes itu menjadi pengajaran berguna kepada mereka yang masih lagi ‘degil’ serta gagal mematuhi sepenuhnya segala SOP yang ditetapkan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS),Universiti Putra Malaysia