Rakyat Malaysia liat isi e-Census

No Image Caption
A
A
A

WALAUPUN sudah hampir sebulan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census dilancarkan, jumlah rakyat Malaysia yang mengisi maklumat menerusi kaedah itu masih belum mencapai sasaran ditetapkan.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, tidak sampai 10,000 isi rumah mengisi e-Census setiap hari berbanding sasaran 37,000 isi rumah sehari. Katanya, sehingga semalam, sekitar 500,000 sahaja penduduk Malaysia melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Ketika budaya digital semakin meluas di tengah-tengah wabak Covid-19 sekarang, e-Census merupakan pilihan terbaik kerana ia lebih mudah, fleksibel dan selamat.

Projek bancian edisi keenam itu melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman. Ia dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini menerusi e-Census, manakala fasa kedua bermula dari 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah bersemuka.

Melalui bancian itu, saiz, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia dapat dikenal pasti. Begitu juga jenis pekerjaan dan tempoh perjalanan ke tempat kerja.

Maklumat yang diperoleh seperti kemudahan kesihatan, pendidikan, rekreasi dan jaringan jalan raya boleh digunakan kerajaan dan pihak swasta dalam merancang dan mencorakkan kehidupan generasi akan datang ke satu tahap lebih baik.

Andai diimbas kembali, kehidupan dan nikmat yang kita peroleh pada hari ini hakikatnya adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada lima banci terdahulu yang dibuat setiap 10 tahun sekali.

Buat masa ini, kempen yang bertujuan menggalakkan orang ramai mengisi e-Census perlu diperhebat khususnya dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan ketersambungan tinggi dan mempunyai capaian internet.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia pula seharusnya mencontohi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menjadi responden pertama Banci 2020 apabila mengisi e-Census pada 7 Julai lalu.

Ingat, data anda masa depan Malaysia.