Malaysia belum tolak CPTPP, kata Azmin

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membuat keputusan untuk menolak Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 yang bersetuju supaya Malaysia meratifikasi CPTPP tanpa menetapkan tempoh khusus untuk ratifikasi tersebut.

Katanya, celahan Ahli Parlimen Bagan daripada DAP, Lim Guan Eng ketika sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan jawapannya berkaitan pendirian kerajaan mengenai CPTPP adalah bersifat politik dan tidak bertanggungjawab.

“Ingin saya tegaskan bahawa jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 di bawah pentadbiran PH.

“Jemaah Menteri pentadbiran PH tidak pernah membuat keputusan untuk menolak CPTPP seperti yang didakwa oleh Guan Eng,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, beberapa perbincangan susulan berkaitan CPTPP di peringkat Jemaah Menteri sepanjang tahun 2019 dan awal tahun 2020 adalah untuk menilai kesediaan Malaysia dalam melengkapkan proses domestik khususnya dalam memuktamadkan pindaan undang-undang yang telah dikenal pasti ke arah meratifikasikan CPTPP.

“Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Guan Eng adalah mengelirukan, berniat jahat untuk memesongkan fakta sebenar.

“Ia tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang memegang salah satu portfolio penting dalam Kabinet PH pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya yang merujuk kepada portfolio Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet Kerajaan PH.

Sehingga kini, CPTPP telah berkuat kuasa mulai 30 Disember 2018 di Australia, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand dan Singapura, manakala di Vietnam pada 14 Jan 2019. - Bernama