JPJ sasar kutipan saman tertunggak RM500,000

Hanif Yusabra (kanan) bersama pengguna yang menjelaskan saman di kiosk di JPJ Kota Bharu.
Hanif Yusabra (kanan) bersama pengguna yang menjelaskan saman di kiosk di JPJ Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyasarkan kutipan saman tertunggak berjumlah RM500,000 dalam tempoh sebulan melalui tawaran diskaun sebanyak 70 peratus bermula 1 Ogos ini.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, jumlah itu membabitkan 12,000 kes saman tertunggak melibatkan pelbagai kesalahan pengguna jalan raya.

“Potongan diberikan kepada pengguna secara serentak di seluruh negara dan mereka boleh mula menjelaskan saman dalam tempoh sebulan sehingga 31 Ogos ini.

“Antara kesalahan termasuklah memotong barisan, tidak memakai topi keledar, tali pinggang keledar, tiada lesen memandu atau tamat tempoh, masalah teknikal dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, setakat ini JPJ mengumpul sejumlah RM34,089 saman yang dijelaskan pengguna dalam tempoh tiga hari potongan bermula pada 1 Ogos sehingga semalam.

“Orang awam boleh menyemak saman masing-masing di portal awam awam mySIKAP, di kiosk, JPJ Mobile atau hadir sendiri ke pejabat negeri, cawangan Machang, Gua Musang dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Pihak JPJ juga amat menggalakkan pembayaran secara atas talian bagi menggelakkan kesesakan di kaunter-kaunter JPJ,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika membuat bayaran di kaunter JPJ.

Artikel Berkaitan:

“Pastikan penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan menjalankan saringan suhu badan sebelum memasuki premis JPJ,” katanya.