Mujur sempat kejutkan anak tidur

Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 di sini awal pagi semalam. c
Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 di sini awal pagi semalam. c
A
A
A

JERANTUT - Tindakan pantas bapa mengejutkan anaknya yang sedang tidur di bilik belakang ketika rumah mereka terbakar berjaya menyelamatkan nyawa lelaki itu dalam kejadian di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 di sini awal pagi semalam.

Zaini Zahari, 22, berkata, ketika kejadian pada jam 4.20 pagi itu, beliau sedang nyenyak tidur di bilik belakang sebelum dikejutkan ayahnya, Zahari Ariffin.

"Saya langsung tidak sedar sebelum dikejutkan oleh ayah. Syukur ayah berusaha mengejutkan saya.

"Sebaik sedar, api sedang marak di bahagian depan rumah dan saya segera membawa keluar ayah," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, sebelum itu bapanya tersedar daripada tidur dan menyedari rumah mereka terbakar selepas berasa panas bahang api.

Kebakaran di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4, Jerantut awal pagi semalam. -Foto Ihsan bomba
Kebakaran di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4, Jerantut awal pagi semalam. -Foto Ihsan bomba

Ekoran kejadian itu katanya, beliau dan ayahnya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan kerana api marak terlalu cepat.

Walaupun sedih dengan nasib yang menimpa keluarganya, Zahari yang bertugas sebagai pengawal keselamatan bersyukur kerana insiden kebakaran tidak membabitkan nyawa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal jenis Demak.

"Jumlah kerugian sebenar masih belum diketahui tetapi apa-apa pun syukur semuanya selamat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal memberitahu, tujuh anggota bomba bersama seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian bersama satu jentera selepas menerima panggilan pada jam 4.29 pagi.

"Enam anggota dan satu jentera dari BBP Jengka turut membantu operasi memadam kebakaran.

"Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada jam 7.30 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.