Geng Ah Hau tewas

Zainuddin (dua dari kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar semalam menunjukkan peralatan digunakan Geng Ah Hau untuk melakukan pecah rumah.
Zainuddin (dua dari kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar semalam menunjukkan peralatan digunakan Geng Ah Hau untuk melakukan pecah rumah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kumpulan penjenayah pecah rumah dikenali sebagai Geng Ah Hau tumpas dengan penahanan empat orang ahlinya dalam operasi berasingan di Kedah dan Kuala Lumpur sejak Khamis lepas.

Kesemua suspek berusia antara 32 hingga 44 tahun itu didapati memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk jenayah dan narkotik dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah termasuk di Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang sejak akhir 2019.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob percaya, penahanan keempat suspek menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di beberapa negeri terbabit dan kini sedang memburu saki-baki ahli kumpulan itu.

"Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sejak semalam (kelmarin) mengikut Seksyen 395 kerana rompakan berkumpulan dan Seksyen 457 kerana pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini semalam.

Terdahulu katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Tikam Batu, Sungai Petani pada 30 Julai lepas.

Zainuddin berkata, penahanan lelaki terbabit membawa kepada penahanan tiga lagi ahli kumpulan termasuk dalang utama di Kuala Lumpur kira-kira empat hari kemudian.

"Dalam serbuan itu, kita merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah rumah dan barang curi termasuk dua kereta, 15 telefon bimbit dan tujuh jam tangan.

"Sebanyak lima kamera, empat walkie-talkie, dua laptop, dua buku koleksi setem serta beberapa kunci rumah dan kunci kereta turut dirampas daripada kumpulan terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin berkata, siasatan mendapati keempat-empat suspek terbabit disyaki terlibat dalam empat kes pecah rumah di sekitar Lunas dan Kulim pada 22 Julai lepas dengan nilai kerugian sebanyak RM250,000.

"Modus operandi kumpulan itu adalah bergerak dalam satu kumpulan dengan menaiki kereta mewah yang disewa dari syarikat kereta sewa melalui internet dengan mensasarkan rumah-rumah yang tiada penghuni dan memiliki persekitaran sunyi," katanya.

Menurutnya, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek juga menggunakan kereta mewah berwarna putih dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Kita percaya penahanan keempat suspek menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di beberapa negeri terbabit dan kini sedang memburu saki baki ahli kumpulan itu," katanya.