X

Kindly register in order to view this article
!

Pemegang saham syarikat ditahan pecah amanah RM1.98 juta

Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Polis hari ini menahan seorang pemegang saham syarikat bersama dua rakannya di sekitar daerah ini kerana dipercayai terlibat kes pecah amanah berjumlah RM1.98 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, dalam kes berkenaan, mangsa yang merupakan seorang pengarah syarikat berasaskan teknologi komputer mendapati suspek berusia 44 tahun telah melakukan penyelewengan wang dividen miliknya.

"Suspek telah mengeluarkan sekeping cek atas nama mangsa berjumlah RM1.98 juta yang ditunaikan ke dalam akaun bersama antara mangsa dan suspek tanpa pengetahuan mangsa.

"Semakan penyata akaun bank mendapati terdapat empat transaksi pengeluaran wang melalui cek ke atas beberapa penama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan wang hasil penipuan.

Sementara itu, dalam kes berlainan, polis menyerbu sebuah premis urut di Kota Damansara, di sini semalam dan menahan empat tukang urut warga asing bersama seorang wanita tempatan disyaki penjaga premis.

"Operasi kira-kira jam 7.30 petang itu bertindak merampas sekeping catatan jadual kerja.

"Empat tukang urut berusia 25 hingga 40 tahun itu telah direman 14 hari untuk siasatan di bawah Peraturan Imigresen 1963, manakala wanita tempatan berusia 35 tahun itu direman satu hari kerana menggaji warga asing yang tidak memiliki pas pekerjaan sah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!