X

Kindly register in order to view this article
!

MAQIS Kedah rampas 300 kilogram buah limau

Anggota penguatkuasa MAQIS memeriksa buah limau cuba dibawa masuk tanpa dokumen sah di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Sebanyak 300 kilogram buah limau dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini baru-baru ini.

Pengarah MAQIS Kedah, P Lily Rosalind berkata, pegawai penguatkuasa MAQIS melakukan pemeriksaan rutin ke atas sebuah lori di kompleks berkenaan sebelum mendapati keluaran pertanian itu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati buah limau cuba dibawa masuk tanpa dokumen yang sah seperti permit import dikeluarkan MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

"Sehubungan itu, MAQIS Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk keluaran pertanian dianggarkan bernilai sebanyak RM3,000 dari Thailand tanpa permit import.

"Kesemua buah limau tersebut dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lily berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) di bawah Akta sama.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!