Tak sedar sesat ke kampung orang asli

Mangsa ditemui selamat dalam operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kedua semalam. -Foto: pembaca
Mangsa ditemui selamat dalam operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kedua semalam. -Foto: pembaca
A
A
A

IPOH - Warga emas yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Korbu di sini tidak menyedari dirinya sesat sehinggalah tiba di Perkampungan Orang Asli Kampung Makmur di sini.

Mangsa, Tee Kong Tiong, 68, dijumpai lelaki orang asli berusia 27 tahun sekitar jam 2.30 petang ketika dia sedang mencari hasil hutan di Sungai Gajah berhampiran.

Difahamkan, mangsa tidak menyedari melalui trek Sungai Senooi di Kampung Makmur (trek Lagenda Korga) berbanding laluan asalnya iaitu Empangan Sultan Azlan Shah.

Mangsa yang kehabisan bekalan sempat diberi makan dan minuman oleh penduduk kampung sebelum menghantar mangsa menaiki motosikal ke pos kawalan berhampiran Kem 2 Bridged Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa ditemui oleh penduduk tersebut kira-kira lima kilometer (km) daripada trek asal.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat telah diambil rekod keterangan dan dibawa mendapatkan pemeriksaan rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan.

“Pendaki diingatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan negeri sebelum memulakan aktiviti dalam hutan selain melaporkan di balai polis berhampiran,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa bersama rakan wanitanya berusia 42 tahun tidak memiliki kebenaran bertulis atau permit sebelum memulakan pendakian.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai 28 anggota polis, bomba dan Jabatan Perhutanan terbabit dalam operasi mencari warga emas berusia 68 tahun yang dipercayai sesat pada 2 Ogos lalu ketika melakukan aktiviti pendakian Gunung Korbu di sini.

Operasi hari kedua semalam bagi mencari mangsa dilaksanakan dengan kaedah pendakian dan pencarian udara selain dibantu Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR).