X

Kindly register in order to view this article
!

Maahad tahfiz terbakar, Kerajaan Selangor salur peruntukan RM300,000

Amirudin ketika meninjau keadaan bangunan asrama Mahaad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat yang terbakar awal pagi tadi. -Foto:FB Amirudin Shari
A
A

BANTING - Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat bagi membaiki bangunan asrama yang terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga sedang menguruskan penempatan sementara buat pelajar yang terjejas akibat insiden kebakaran terbabit.

Beliau yang meninjau keadaan bangunan asrama itu berkata, kerajaan negeri juga sedang menunggu laporan penuh punca kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Saya mengumumkan peruntukan RM 300,000 bagi membaiki bangunan asrama yang terbakar dan menambah aspek keselamatan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang.

“Keselamatan pelajar terutama anak-anak kita yang sedang menuntut ilmu adalah keutamaan penting bagi semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, seramai 131 pelajar perempuan terselamat dalam kejadian kebakaran di tingkat tiga bangunan asrama maahad tahfiz terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 27 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, Telok Panglima Garang, KLIA, Pelabuhan Klang serta Seksyen 7 bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.50 pagi.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 40 peratus atau kawasan seluas 30 X 100 kaki persegi asrama pelajar perempuan itu musnah dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, kebakaran dipercayai berpunca masalah litar pintas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku litar pintas di dewan asrama terbabit yang menempatkan 36 pelajar perempuan.

"Jumlah keseluruhan pelajar perempuan di blok terbabit adalah seramai 72 orang. Tiada sebarang laporan kematian atau kecederaan yang dialami pelajar serta guru. Kerugian yang dialami masih dalam siasatan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!