Akademi JDT dianugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau

Stuart (kiri) menyerahkan anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau kepada Alistair dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Plak Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM kepada Akademi Bolasepak JDT di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT, Iskandar Puteri hari ini. -Foto ihsan Johor Southern Tigers
Stuart (kiri) menyerahkan anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau kepada Alistair dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Plak Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM kepada Akademi Bolasepak JDT di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT, Iskandar Puteri hari ini. -Foto ihsan Johor Southern Tigers
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima anugerah Ahli Emas Piagam Suparimau daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas usahanya memperkasakan program bola sepak akar umbi.

Akademi Bola Sepak JDT merupakan akademi bola sepak pertama di Malaysia yang menerima anugerah julung kali diperkenalkan FAM itu berdasarkan lima kriteria khas.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, lima kriteria khas itu adalah kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan untuk mencapai status Ahli Piagam SupaRimau FAM.

"Akademi JDT memiliki kelima-lima kriteria yang ditetapkan ini untuk melayakkannya mendapat pengiktirafan tertinggi FAM ini.

"Menerusi kepimpinan FAM ketika ini, apa yang ditekankan adalah pembangunan bola sepak akar umbi. Ini adalah langkah terbaik membentuk pemain muda yang berkualiti apabila mereka beraksi di peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Plak Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM kepada Akademi Bolasepak JDT di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo; Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Anizam Jamian.

Stuart berkata, bagi memastikan usaha membentuk pemain yang berkualiti, FAM melihat program akar umbi yang mampu memberi impak positif kepada setiap pemain muda yang sememangnya inginkan pendedahan terbaik dalam bola sepak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ahli Piagam SupaRimau bukan sahaja terbuka kepada akademi bola sepak persatuan negeri atau kelab di bawah naungan FAM tetapi juga akademi bola sepak swasta.

Jelas beliau, mereka hanya perlu mendaftar dan setakat ini sudah 250 akademi bola sepak sudah mendaftar.

Sementara itu, Alistair berkata, anugerah itu membuktikan perancangan rapi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ternyata berjaya dan diiktiraf kerana semua cetusan ideanya lebih mengutamakan kelengkapan pusat latihan.

Menurutnya, ketika ini 120 pelatih akademi JDT membabitkan pemain 12 hingga 21 tahun menjalani latihan di akademi berkenaan dibimbing jurulatih sepenuh masa yang memberi pendedahan terbaik mengenai bola sepak moden.

Alistair berkata, program bola sepak akar umbi tidak boleh dipinggirkan kerana pemain muda ibarat permata yang harus digilap dan mereka juga akan mewarnai pentas bola sepak antarabangsa.

"Kami di JDT ada falsafah yang mementingkan pembangunan bola sepak.

"Jadi tumpuan utama memberi fokus 100 peratus dan sentiasa mahu berada di hadapan bukan sahaja dalam skuad senior malah membabitkan skuad remaja," katanya.