Kluster PUI Sivagangga: Pasar pagi, malam tidak dibenarkan beroperasi

MOHD HAYATI
MOHD HAYATI
A
A
A

ALOR SETAR - Semua pasar tanpa premis di Kubang Pasu dan Padang Terap seperti pasar pagi dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi sehingga 30 Ogos ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan kurangnya pergerakan bebas oleh peniaga termasuk orang awam yang tinggal di kedua-dua daerah tersebut.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MDKP) dan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mempunyai kuasa untuk menghentikan apa-apa jenis pasar yang berhampiran dengan kawasan terjejas dan berisiko akibat pandemik.

Bagaimanapun, bagi perniagaan berpremis dan perkhidmatan keperluan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa, namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran pula, masa perniagaan dihadkan dari jam 8 pagi sehingga 6 petang.

"Perniagaan dan perkhidmatan keperluan yang dibenarkan adalah antaranya kedai makan, restoran, penghantaran makanan dan barangan ke rumah serta stesen minyak.

"Bagi premis perniagaan makanan, pelanggan dibenarkan untuk membungkus sahaja," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Tadbir Urus PBT Kedah bagi MPKP dan MDPT di Wisma Darul Aman hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, taman awam serta pusat rekreasi sama ada terbuka ataupun tertutup juga tidak dibenarkan beroperasi termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan sosial di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, premis perniagaan yang juga melibatkan aktiviti sukan dalaman seperti gimnasium dan badminton di gelanggang yang berpremis dan sebagainya adalah juga tidak dibenarkan beroperasi.

"Saya menasihatkan bagi mereka yang memakai gelang 'pink' ataupun yang mempunyai 'contact' dengan mereka yang positif covid-19 agar disiplinkan diri untuk kuarantin di rumah dan patuhilah arahan KKM," katanya.