Keputusan Pemilihan jawatankuasa Bersatu Hulu Langat dipersoal

Al Hafiz (tiga dari kiri) pada sidang akhbar bersama beberapa calon jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Langat yang didakwa dinafikan kemenangan sewaktu pemilihan pada 19 Julai lalu.
Al Hafiz (tiga dari kiri) pada sidang akhbar bersama beberapa calon jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Langat yang didakwa dinafikan kemenangan sewaktu pemilihan pada 19 Julai lalu.
A
A
A

SEMENYIH - Beberapa calon Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat menyuarakan bantahan berhubung keputusan pemilihan parti berkenaan yang berlangsung pada 19 Julai lalu.

Calon Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad berkata, menerusi keputusan tidak rasmi sebelum ini, pasukan Wawasan Hulu Langat telah memenangi pemilihan di tujuh cawangan bahagian tersebut.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 31 Julai lalu dilihat mengumumkan keputusan sebaliknya tanpa memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

"Dalam pemilihan sebelum ini, pasukan kami menang di tujuh cawangan, manakala pasukan Perdana menang lima cawangan dan Hulu Langat Bersatu pula tiga.

"Tapi apabila JPP mengumumkan keputusan rasmi, berlaku perubahan dan calon-calon yang tewas telah diumumkan menang," katanya pada sidang akhbar di Semenyih Club House, Taman Pelangi di sini hari ini.

Selain Al Hafiz, beberapa calon lain turut mempersoalkan keputusan tersebut; antaranya Calon Timbalan Ketua Bahagian Hulu Langat, Safrizal Mirni Rani; Calon Ketua Armada Bahagian Hulu Langat, Yasser Zulkefli dan Calon Ketua Srikandi Bahagian, Nurizam Ramli.

Sementara itu, Al Hafiz berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat dua cawangan iaitu Dusun Tua dan Kampung Tanjong telah dibatalkan persidangan sehingga menyebabkan keputusan akhir berubah.

"Justeru, kami beranggapan ada unsur-unsur sabotaj dan tangan ghaib pihak tertentu yang cuba mengubah keputusan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Al Hafiz berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk memanjangkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekiranya isu berkenaan tidak mendapat perhatian kepimpinan parti.

Katanya, pasukan beliau juga akan memanjangkan perkara itu kepada Presiden parti bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

"Kami juga beranggapan sekiranya batal pemilihan dua cawangan ini, maka pemilihan semula perlu dilakukan bagi menjamin ketelusan parti ini," katanya.