Rizal desak Rayyan suruh Saidi taja pergi umrah

Rayyan Radzwill hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung projek solar hibrid. - Foto Bernama
Rayyan Radzwill hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung projek solar hibrid. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu saksi ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah bahawa bekas pembantu Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Datuk Rizal Mansor ada mendesaknya supaya meminta sejumlah wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan untuk tujuan Rizal menunaikan umrah.

Rayyan yang juga rakan kongsi kepada Saidi berkata, Rizal meminta Saidi untuk menaja perbelanjaan untuk beliau menunaikan umrah di Makkah bersama keluarga.

"Saya beritahu Saidi bahawa Rizal hendak menunaikan umrah dan minta duit, Dia (Rizal) minta Saidi taja dia untuk tunaikan umrah," katanya ketika menjawab soalan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kadir pada prosiding pemeriksaan balas di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Rayyan bagaimanapun tidak mendedahkan kepada mahkamah jumlah wang yang diberikan kepada Rizal untuk tujuan tersebut.

Rayyan turut memberitahu mahkamah bahawa sebelum ini Rizal pernah meminta upah untuk beliau yang memainkan peranan bagi pelaksanaan projek solar hibrid itu.

Rayyan memberitahu mahkamah lagi, Rizal ada menerima wang RM500,000 yang merupakan ganjaran kepada beliau berhubung projek terbabit.

Rayyan berkata, bayaran itu dibuat di kediaman Rizal di Segambut, Kuala Lumpur sekitar tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam prosiding terdahulu, Rayyan turut menyatakan tiga individu termasuk Tan Sri Madinah Mohamad, Datuk Seri Alias Ahmad dan Datuk Seri Mahdzir Khalid melindungi syarikat Jepak Holdings walaupun terdapat klausa kontrak diubah dan tidak mengikut perancangan asal.

Rayyan berkata, dua bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Madinah dan Alias selain Mahdzir yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu telah gagal menjalankan amanah sebagai pegawai kerajaan dalam pengendalian projek solar hibrid tersebut.

Rayyan memberitahu mahkamah lagi, dia ada memberitahu mengenai klausa kontrak Jepak yang telah diubah kepada Madinah melalui hantaran WhatsApp, namun tiada apa-apa tindakan daripada pihak terbabit.

Ketika Akberdin mencadangkan soalan adakah ketiga-tiga individu yang disebut itu bersekongkol berhubung projek itu, Rayyan menjawab tidak tahu.

Namun Rayyan bersetuju bahawa mereka melindungi syarikat Jepak Holdings.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dan Saidi dijangka akan memberi keterangan.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.