500,000 penjawat awam Zimbabwe lancar mogok

Penjawat awam Zimbabwe lancar mogok mahu kenaikan gaji. - Foto newzimbabwe.com
Penjawat awam Zimbabwe lancar mogok mahu kenaikan gaji. - Foto newzimbabwe.com
A
A
A

HARARE - ZIMBABWE.Kerajaan Zimbabwe bakal berdepan situasi sukar apabila kumpulan perwakilan penjawat awam mengumumkan hampir 500,000 ahlinya seluruh negara akan melancarkan mogok bagi menuntut gaji lebih tinggi.

Setiausaha Majlis Perkhidmatan Awam,David Dzatsunga berkata, mogok tersebut akan bermula esok di ketika ekonomi negara Afrika Selatan itu semakin merudum dan kekecewaan terhadap kerajaan Presiden Emmerson Mnangagwa semakin meningkat.

Menurut Dzatsunga, masa secukupnya telah diberikan kepada majikan untuk memenuhi tuntutan pekerja termasuk bayaran gaji dalam matawang AS dan persekitaran kerja yang lebih baik.

Notis 14 hari yang diberikan kepada kerajaan pada 8 Januari lalu akan berakhir dan pihak majlis tidak akan bertanggungjawab ke atas apa yang bakal berlaku seterusnya.

Dalam pada itu, permintaan Mnangagwa untuk mengadakan dialog kebangsaan disambut dengan keraguan.

Protes minggu lalu yang disebabkan kenaikan harga minyak, berterusan di jalanan di mana saksi dan kumpulan hak asasi melaporkan penderaan oleh pasukan tentera, polis dan sayap pemuda parti pemerintah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Zimbabwe, Japhet Moyo kini berdepan hukuman penjara 20 tahun kerana dituduh menghasut rakyat Zimbabwe mengadakan protes membantah kenaikan harga minyak, dan ramai lagi yang disyaki terlibat dalam protes terbabit turut ditahan serta dinafikan hak untuk mendapat keadilan.

Keadaan bertambah buruk apabila rakyat yang berang kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan minyak dan barang keperluan lain, bertindak merompak kedai-kedai kerana terdesak. - Washington Post/newzimbabwe.com

Artikel Berkaitan: