PAFA kekal semua pegawai, pemain

Zainol Fadzi (tiga dari kiri) menerima jersi tertera nama beliau selepas mewakili Ahmad Faizal pada Kongres Tahunan PAFA ke-62, hari ini.
Zainol Fadzi (tiga dari kiri) menerima jersi tertera nama beliau selepas mewakili Ahmad Faizal pada Kongres Tahunan PAFA ke-62, hari ini.
A
A
A

IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengekalkan semua pegawai dan pemain termasuk untuk skuad Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Perdana Futsal Malaysia biarpun berdepan cabaran kewangan berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, seperti yang semua sedia maklum, saingan Liga Super dan Liga Premier dapat diteruskan tetapi pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Perdana Futsal Malaysia musim 2020 terpaksa dibatalkan penganjurannya atas faktor keselamatan

Beliau berkata, pembatalan ketiga-tiga pertandingan itu menyebabkan beberapa pasukan dan kelab di Malaysia mengambil pendekatan untuk menamatkan kontrak pegawai serta pemain mereka lebih awal sebagai langkah untuk mengimbangi kedudukan kewangan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

"Walaupun kantung kewangan PAFA juga pada dasarnya turut terkesan dengan isu ini, namun atas rasa tanggungjawab yang begitu menebal dalam diri saya serta berkat bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan lain terutama daripada Bendahari Kehormat PAFA, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abd Khalid sendiri, kita berjaya mengekalkan kesemua pegawai dan pemain tanpa perlu membatalkan kontrak mahu pun membuat pemotongan gaji.

"Tercetusnya isu Covid-19 juga menyebabkan PAFA turut mengambil pendekatan untuk membatalkan hampir kesemua program dan aktiviti peringkat daerah dan negeri sepertimana yang pernah kita anjurkan pada tahun 2019 seperti Kejohanan Piala Presiden PAFA, Junior Merdeka Cup, program-program kejurulatihan, program pembangunan bolasepak akar umbi dan lain-lain," katanya ketika dalam ucapan pada Kongres Tahunan PAFA ke-62 di Hotel Casuarina @ Meru, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin dan Datuk Seri G Irudianathan.

Mengulas mengenai saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada 26 Ogos nanti, Ahmad Faizal yakin pemain pasukan Perak dan Perak 2 bersedia memberikan persembahan terbaik biarpun tanpa kelibat penonton.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi pasukan Liga Super Perak dijadualkan bertemu pasukan Melaka United di Stadium Perak, Ipoh dan disusuli pula dengan perlawanan di antara pasukan Perak 2 bertemu Sarawak United pada 27hb Ogos 2020 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dalam saingan Liga Premier.

Menurut beliau, cabaran Liga Malaysia tahun ini juga berbeza apabila pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengubah kuota penyertaan bagi kelab-kelab dari Malaysia di dalam saingan Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC bagi tahun 2021.

"Seiring dengan perubahan tersebut, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menetapkan bahawa Juara Liga Super 2020 akan beraksi secara automatik di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia 2021 manakala Naib Juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia 2020 akan beraksi di dalam pertandingan Piala AFC 2021.

"Perkembangan ini boleh menjadi satu berita baik kepada kelab-kelab bola sepak di Malaysia kerana penglibatan di dalam saingan peringkat Asia secara tidak langsung akan membantu mempertingkatkan kemampuan kelab secara keseluruhan dan sekaligus dapat memartabatkan lagi nama dan imej di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, mengenai penganjuran program-program akar umbi PAFA yang dibatalkan, Ahmad Faizal berkata, pihaknya tidak meneruskan program tersebut kerana bimbang dengan penularan Covid-19 walaupun pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberikan sedikit kelonggaran untuk kembali menganjurkan aktiviti sukan.

Katanya, PAFA melihat perkara itu dari sudut positif dan memanfaatkan ruang masa yang ada untuk membina perancangan yang lebih jitu dan komprehensif pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Kongres Tahunan Luar Biasa PAFA turut diadakan selepas itu bagi memilih Timbalan Presiden PAFA yang baharu selepas Datuk Seri Zainal Azman Abu Seman mengambil keputusan meletakkan jawatan.

Pada majlis itu, semua ahli gabungan sebulat suara menamakan Pengurus Pasukan Liga Super Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tak sebagai Timbalan Presiden PAFA yang baharu.