Kerajaan pinda kadar minimum bankrap

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membentangkan pindaan Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] khususnya Seksyen 51 yang melibatkan kadar minimum baharu bankrap pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jumlah kadar minimum tersebut tidak dapat dimaklumkan kerana perkara tersebut akan dibentangkan tidak lama lagi.

Beliau menjawab soalan tambah Hannah Yeoh (PH-Segambut) sama ada kerajaan akan meminda akta berkaitan bagi menaikkan kadar minimum bankrap susulan pandemik Covid-19.

Dalam soalan asal Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai langkah kerajaan meminda undang-undang bagi menyelesaikan status bankrap agar tidak berkekalan sepanjang hayat.

Menurut Takiyuddin, kerajaan telah membuat kajian undang-undang berkaitan kebankrapan dengan yang terakhir melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 [Akta A1534] berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

“Ianya melibatkan kenaikan amaun minimum daripada RM30,000 kepada RM50,000.

“Melalui Akta A1534, kerajaan telah memberi hak perlindungan dan jaminan kepada bankrap berdasarkan lunas undang-undang yang telah digariskan berdasarkan rujukan dan perbandingan negara luar seperti United Kingdom, Singapura, New Zealand dan Hong Kong.

“Akta A1534 juga telah memperkenalkan satu peruntukan yang baharu di bawah Seksyen 33C iaitu Pelepasan Automatik di mana tempoh kebankrapan ditadbir selama tiga tahun daripada tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal oleh individu bankrap,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh Takiyuddin berkata, amalan di Hong Kong mengambil tempoh masa empat tahun, manakala Thailand, Australia dan New Zealand masing-masing tiga tahun.

Tambah beliau, individu bankrap dalam memohon Pelepasan Automatik itu hendaklah mematuhi syarat-syarat yang telah digariskan dalam Akta Insolvensi 1967 [Akta 360].

“Justeru, pindaan tersebut dapat membantu dan memudahkan bankrap untuk memahami dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan berdasarkan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kunci utama seorang bankrap agar status kebankrapan tidak berkekalan sepanjang hayat ialah memahami, memberi kerjasama yang penuh dan mematuhi arahan Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl).

“Pindaan ini tidak akan memberi kesan atau impak yang positif sekiranya bankrap tidak memberi kerjasama yang penuh kepada Mdl,” ujarnya.