PGA patahkan cubaan seludup pil yaba, arak dan beras

Arak dan beras yang dirampas.
Arak dan beras yang dirampas.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup pil yaba, arak dan beras dalam tiga serbuan menerusi Ops Benteng Covid-19 di sini semalam.

Serbuan bermula jam 12.10 tengah malam hingga 7 pagi itu hasil maklumat dan rondaan rutin yang dijalankan oleh pasukan berkenaan di sekitar kawasan Rantau Panjang.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintenden Nor Azizan Yusof berkata, bertindak atas maklumat anggotanya yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kampung Tasek Berangan.

"Menyedari motosikalnya diekori oleh anggota PGA, suspek telah mencampakkan satu bungkusan ke dalam semak di kampung berkenaan sebelum meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan itu membawa kepada penemuan pil yaba yang dianggar bernilai RM600," katanya.

Suspek telah mencampakkan satu bungkusan mengandungi pil yaba ini ke dalam semak sebelum meloloskan diri.
Suspek telah mencampakkan satu bungkusan mengandungi pil yaba ini ke dalam semak sebelum meloloskan diri.

Beliau berkata, serbuan kedua di pangkalan haram Pok Mat sekitar jam 1 pagi telah menjumpai sebuah kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Selepas setengah jam menunggu, anggota PGA telah bertindak memeriksa kenderaan itu dan menemui bungkusan berwarna hitam mengandungi pelbagai jenis minuman keras yang disyaki diseludup dari Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati minuman keras itu dibawa masuk menggunakan pangkalan haram dengan tujuan untuk mengelak daripada bayaran membayar cukai.

"Anggaran rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM53,668," katanya.

Nor Azizan berkata, serbuan ketiga pada jam 7 pagi telah merampas beberapa kampit beras dianggarkan berjumlah RM12,036 termasuk kenderaan.

"Serbuan di kawasan Simpang Empat Salam menghala ke Kampung Gual Tok Deh dilakukan selepas anggota PGA selepas terserempak dengan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu kenderaan itu telah bertindak melarikan diri ke dalam semak selepas anggota PGA memintanya untuk menghentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM66,304.