Glasier membentuk lembah di Marikh

Gambar fail menunjukkan bentuk muka bumi di Marikh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan bentuk muka bumi di Marikh. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Penyelidikan terbaru yang disiarkan semalam mendedahkan kebanyakan lembah di Marikh pernah mengandungi glasier dan bukannya aliran sungai.

Sebelum ini timbul persoalan sama ada kehidupan pernah wujud pada masa lalu berdasarkan air yang pernah mengalir di planet tersebut.

Para penyelidik dari Kanada dan Amerika Syarikat (AS) memeriksa lebih 10,000 lembah Marikh dan membandingkannya dengan bentuk pengaliran air di Bumi di bawah aliran glasier.

"Bagi tempoh 40 tahun lalu, sejak lembah Marikh ditemui buat kali pertama, terdapat tanggapan bahawa sungai pernah mengalir di Marikh, menghakis dan menyebabkan lembah-lembah tersebut terbentuk," kata ketua penulis kajian itu, Anna Grau Galofre yang dikeluarkan oleh Universiti British Columbia.

"Jika anda melihat di Bumi dari sebuah satelit, anda menyaksikan banyak lembah. Sebahagiannya dihasilkan oleh sungai, sebahagian lagi oleh glasier, sebahagian lagi disebabkan oleh proses lain dan setiap jenisnya mempunyai bentuk yang tersendiri.

"Marikh adalah sama. Beberapa lembah di sana kelihatan berbeza daripada yang lain sekali gus dicadangkan terdapat banyak proses dalam pembentukannya," tambahnya lagi.

Persamaan antara lembah-lembah di Marikh dan aliran subglasier di Pulau Devon, Kanada menyebabkan Galofre dan rakan-rakannya bermotivasi mengendalikan kajian tersebut.

"Pulau Devon merupakan salah satu bentuk muka bumi yang menyerupai Marikh di Bumi. Ia sejuk, kering, gurun di kawasan kutub dan pengglasieran di situ adalah disebabkan cuaca sejuk," kata penulis bersama kajian tersebut Professor Gordon Osinski yang merupakan penyelidik di Jabatan Sains Bumi dan Institut Untuk Sains Eksplorasi Angkasa dan Bumi di Universiti Western Ontario. - Agensi

Artikel Berkaitan: