KPWKM wajar dijadikan kementerian barisan hadapan

Nurul Izzah Anwar dan Nurin Aina Surin
Nurul Izzah Anwar dan Nurin Aina Surin
A
A
A

Selaku jurucakap parlimen Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang membayangi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM), kami merasakan tumpuan pentadbiran negara di zaman pasca Covid-19 harus dipandu kepada usaha melindungi serta memulihara kebajikan wanita, anak-anak, warga emas, serta warga kelainan upaya lainnya.

Di era pasca pandemik, kita melihat begitu ramai yang bergantung harap; golongan yang kurang berkemampuan, mangsa keganasan dan penderaan rumah tangga, malah mangsa bencana, apatah lagi dengan anggaran lebih 2.4 juta rakyat yang bakal hilang kerja. Selayaknyalah KPWKM dinobatkan sebagai sebuah kementerian barisan hadapan supaya pemegang taruh utama kementerian yang bertanggungjawab menjaga kebajikan sosial mampu melaksana tugasnya dengan baik. Hal ini selari dengan tanggungjawab yang dipikul oleh KPWKM dalam melindungi wanita; dalam dan luar lingkungan seisi keluarga, anak-anak yang menghadapi risiko dalam ekosistem yang tidak selamat, di samping warga emas mendepani masa depan dengan kadar menua yang lebih mencemaskan. Pemerkasaan mereka bergantung juga kepada pemerkasaan KPWKM.

Perlindungan sosial di zaman pandemik

Sebagaimana yang dilakukan di seluruh dunia, Malaysia turut menyediakan bantuan tunai kepada rakyat di bawah tahap pendapatan tertentu untuk memastikan kebajikan rakyat terbela.

Pun begitu, krisis yang sedang rakyat hadapi bukan terhad kepada krisis ekonomi semata. Status kewangan sememangnya terjejas teruk; terjejasnya rakyat juga diukur menerusi tahap capaian individu dan keluarga kepada perlindungan sosial itu sendiri.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), panggilan ‘hotline’ ‘Women’s Aid Organisation’ meningkat tiga kali ganda berkaitan isu keganasan rumah tangga dan panggilan 'hotline’ di bawah KKM juga tanpa henti berdering. Panggilan cemas oleh mereka yang terjejas kesihatan emosi dan mentalnya menjadi norma seharian; separuh daripada panggilan yang diterima adalah oleh rakyat yang mengalami tanda-tanda gelisah, tertekan, marah dan juga murung.

Ternyata, begitu ramai yang risau dengan bekalan makanan yang hampir putus, keselamatan yang tidak terjamin, masalah keluarga serta kemampuan membayar sewa dan utiliti.

Walaupun platform utama rakyat mendapat maklumat tentang status wabak yang sedang melanda, rakyat yang memerlukan khidmat perlindungan dan kebajikan sosial, selayaknya juga mendapat perkembangan terkini daripada KPWKM.

Artikel Berkaitan:

Kami melihat dasar New Zealand, yang bertemakan ‘Strategi Kesejahteraan Kanak-kanak dan Belia,’ sesuai dalam melindungi golongan yang mudah terkesan. Dasar di bawah pemerintahan Perdana Menteri Jacinda Ardern sejak Ogos 2019 ini meliputi hal-hal utama seperti pemberian sokongan kewangan, pelepasan pendapatan, pembekuan sewa, peningkatan dana dalam penyaluran bantuan makanan, pengajaran dan pembelajaran dalam talian dan juga, perkhidmatan keganasan rumah tangga menjadi keutamaan dan dirangkumkan dalam senarai langkah keselamatan COVID19.

Bagaikan Harimau Tak Bertaring

Sayangnya, di sebalik beban yang menggunung, KPWKM seolah-olah bertarung di medan perang tanpa senjata. Peruntukan daripada RM1.9 bilion pada tahun 2016 meningkat kepada RM2.5 bilion bagi belanjawan persekutuan bagi tahun 2020. Benar ianya peningkatan, tetapi dengan beban tugas yang lebih besar,tambahan pula apabila jumlah keseluruhan belanjawan persekutuan berjumlah RM 297 bilion.

Ketempangan senjata semakin terkesan apabila kerajaan Perikatan Nasional membatalkan lantikan aktivis dan profesional layak dan berpengalaman selaku ketua-ketua agensi di bawah KPWKM. LPKKN juga tidak terselamat - semua diganti dengan ahli-ahli politik, merangkap ahli parlimen. Bukan apa, mandat dan fungsi kesemua agensi-agensi, atau senjata KPWKM ini adalah untuk menjaga kebajikan sosial rakyat, bukannya dijadikan ghanimah perang.

Selain itu, terdapat sebanyak 110 program perlindungan sosial di Malaysia, namun semuanya diurus berasingan oleh 20 kementerian dan agensi. Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), misalnya, berfungsi untuk menyediakan perumahan bagi mereka yang miskin atau kurang berkemampuan dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar; walaupun Kementerian Wanita yang pada asasnya ditugaskan di dalam memberikan khidmat sokongan kepada warga gelandangan dan sejumlah besar warga memerlukan yang terangkum di bawah senarai bantuan JKM.

Bagi pekerja sosial JKM yang dianggap pegawai barisan hadapan, jumlahnya pula jelas tidak mencukupi.

Kini, nisbah di Malaysia adalah satu pekerja sosial untuk setiap 8,576 warganegara; lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat (1:490); Australia (1:1,040), dan Singapura (1:3,448). Kami mengharapkan agar penjelmaan semula KPWKM sebagai kementerian kanan akan menyegerakan pengenalan dan penguatkuasaan RUU Akta Pekerjaan Sosial.

KPWKM harus mara ke depan

Pada 29 Jun, kerajaan PN bertindak “mengaktifkan semula” Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), sebuah majlis, yang ditubuhkan pada 2016 dan dijadikan majlis induk untuk menyelaraskan dasar dan program bagi memperkasa sistem pelindungan sosial secara holistik dan bersepadu. Sebelum ini, MySPC telah diterajui oleh KPWKM, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia, dan Unit Perancang Ekonomi di bawah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KPWKM ketika itu.

Antara usaha telah dilakukan adalah penubuhan Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial untuk memperkemaskan program bantuan sosial yang tidak seragam. Harap kami adalah supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi MySPC yang baru, meneruskan usaha murni sebelum ini dan tidak membenarkan lagi campur tangan politik yang mengganggu gugat kebajikan yang disalur kepada rakyat.

Begitu juga dengan mangsa gangguan seksual yang kini masih tidak mampu mendapat keadilan sewajarnya oleh kerana tidak mempunyai saluran aduan yang tepat apabila pembentangan Rang Undang-Undang ini ditangguhkan sehingga akhir 2020. Asalnya RUU ini sepatutnya dibentang pada Mac 2020. RUU ini tidak kelihatan pun di dalam senarai RUU sidang terkini. Sepatutnya kita segerakan keselamatan wanita dan anak-anak di Malaysia.

Penyaluran perlindungan sosial, kebajikan dan bantuan bukanlah sesuatu yang boleh diperlekeh atau dirunding ke sana ke mari. Lebih-lebih lagi di dalam tempoh pandemik, ianya bersyarat disegerakan. Saban hari, rakyat Malaysia setia menanti arahan langkah keselamatan daripada Kementerian Dalam Negeri yang disebut-sebut dengan keadaan yang sangat mendesak ini; yang dipinta adalah semangat dan kesegeraan yang sama dalam memastikan KPWKM diperkasakan demi sokongan sosial yang memadai dan menyeluruh.

*Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, manakala Nurin Aina Surin ialah Ahli Parlimen Merbok