Dua feri gagal patuhi SOP ditahan

APMM menahan dua buah feri di perairan Selangor pada Ahad lepas kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal apabila dikesan membawa penumpang melebihi had dibenarkan. Foto: Ihsan APMM
APMM menahan dua buah feri di perairan Selangor pada Ahad lepas kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal apabila dikesan membawa penumpang melebihi had dibenarkan. Foto: Ihsan APMM
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah feri di perairan Selangor pada Ahad lepas kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal apabila dikesan membawa penumpang melebihi had dibenarkan.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, kedua-dua feri itu ditahan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika dari Tanjung Harapan ketika dalam perjalanan dari Pulau Ketam menuju Pelabuhan Klang semasa anggota APMM menjalankan rondaan untuk pemeriksaan rutin kira-kira jam 5 hingga 6 petang.

“Feri tersebut masing-masing membawa 119 dan 124 penumpang berserta tiga kru bagi setiap feri. Kedua-duanya didapati melanggar syarat sah lesen dan SOP penjarakan fizikal apabila membawa penumpang melebihi had dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarat sah lesen pengoperasian feri menetapkan pengangkutan tersebut dibenarkan membawa 80 penumpang dan empat kru sahaja pada satu-satu masa.

Mohamad Rosli berkata enam kru warga tempatan berumur 17 hingga 25 tahun dan dua buah feri itu ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan dibawa ke ibu pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: