Saya cuma minta 20 sen untuk wefie: Dr Maszlee

Dr Maszlee Malik. Gambar kecil: Tangkap layar Facebook Dr Maszlee
Dr Maszlee Malik. Gambar kecil: Tangkap layar Facebook Dr Maszlee
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan beliau tidak pernah meminta atau menerima komisen sebanyak 20 peratus daripada projek solar di Sarawak.

Sebaliknya Dr Maszlee secara berseloroh memaklumkan bahawa beliau hanya meminta 20 sen kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mahu mengambil gambar bersamanya.

"Maaf ya, bukan saya yang dimaksudkan oleh berita-berita yang berlegar mengenai ‘mantan menteri pendidikan’ yang minta 20 peratus suapan dari projek solar di Sarawak.

"Itu menteri sebelum saya. Saya tidak pernah sesekali meminta 20 peratus dari projek KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan apa-apa projek sekalipun.

"Saya hanya minta 20 sen untuk sesiapa yang minta untuk ‘wefie’ bersama-sama saya sahaja," katanya dalam catatan di Facebooknya, sebentar tadi.

Pengakuan sinis dan kiriman ahli Parlimen Simpang Renggam itu mendapat sebanyak 4600 tanda suka serta 122 perkongsian selepas lebih setengah jam dimuat naik.

Semalam, saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ada meminta habuan atau upah untuk dirinya.

Ia setelah Mahdzir bersetuju menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi kelulusan projek solar hibrid melalui syarikat Jepak, lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Rayyan yang merupakan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahdzir pada mulanya meminta 20 peratus (RM250 juta) upah daripada jumlah projek solar hibrid iaitu RM1.25 bilion, namun ia bukan secara langsung tetapi melalui orang tengah yang dikenali sebagai Md Fuad Yasin.

Rayyan berkata demikian selepas menjawab soalan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi gense/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

ARTIKEL BERKAITAN Mahdzir minta habuan untuk projek solar, kata saksi