Kashmir kena 'lockdown'

Gambar fail menunjukkan anggota-anggota pasukan keselamatan India melakukan rondaan di Srinagar pada 10 Ogos tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan anggota-anggota pasukan keselamatan India melakukan rondaan di Srinagar pada 10 Ogos tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

SRINAGAR - Perintah berkurung dilaksanakan di seluruh Kashmir yang dikuasai India dua hari sebelum ulang tahun pertama New Delhi menghapuskan pemerintahan semi autonomi di wilayah tersebut, kata beberapa pegawai lewat semalam.

Pegawai-pegawai itu memetik laporan perisikan yang mendakwa akan berlaku protes yang membimbangkan.

"Sekatan-sekatan ini akan dikuatkuasakan dengan segera dan akan kekal dilaksanakan pada 4 dan 5 Ogos," menurut arahan kerajaan yang dikeluarkan untuk bandar utama, Srinagar.

"Perintah berkurung sepenuhnya akan dikuatkuasakan di seluruh daerah Kashmir," kata seorang pegawai polis yang enggan namanya didedahkan kepada AFP.

Ia bermakna orang ramai akan hanya boleh bergerak dengan memperoleh pas rasmi yang pada kebiasaannya untuk mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti polis dan perubatan.

Sekatan perjalanan sebelum ini dilaksanakan di wilayah Himalaya itu bagi mengurangkan penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) berikutan berlaku peningkatan jangkitan dengan kebanyakan aktiviti ekonomi dihadkan dan pergerakan awam dikurangkan.

Pihak berkuasa sebelum ini mengetatkan sekatan perjalanan di seluruh Kahsmir sejak 1 Ogos lalu.

Perintah berkurung itu adalah sama dengan yang diperkenalkan sebelum pemerintahan semi autonomi dihapuskan di wilayah itu pada 5 Ogos tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia dilaksanakan ketika penduduk Kashmir menganggap 5 Ogos perlu disifatkan sebagai 'hari gelap'.

Perasaan marah dalam kalangan majoriti penduduk Islam di wilayah Kashmir yang menentang pemerintahan nasionalis Hindu semakin meningkat sejak tahun lalu.

Ia adalah berpunca terutamanya mengenai hak-hak pembelian tanah yang sebelum ini dikhaskan kepada penduduk wilayah tersebut sebelum puluhan ribu orang di luar Kahsmir dibenarkan membelinya.

Wilayah itu terlibat dalam pemberontakan bersenjata menentang pemerintahan India menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban kebanyakannya orang awam dalam konflik tersebut. - AFP