Dokumen palsu: Dua kontraktor ditahan reman

SPRM
A
A

KOTA KINABALU - Dua kontraktor direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender projek daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Perintah tahanan reman terhadap dua lelaki berusia 47 dan 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim selepas permohonan dibuat Pegawai Penyiasat SPRM ,Mohamad Nazri Ahmad dan Jamli Lamree.

SPRM menahan kedua-dua individu itu di Kota Belud semalam berikutan penahanan 25 kontraktor di seluruh negeri pada awal bulan ini bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Kesemua individu terdiri daripada pengurus dan pemilik beberapa syarikat itu ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen dan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender JPNS bernilai ratusan ribu hingga jutaan ringgit antara tahun 2016 hingga 2018.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama