Maloney cari pelan alternatif

Luqman Hakim bersama pemain lain giat menjalani latihan pada hari pertama sesi latihan Fasa 2 di Padang PKNS 2, hari ini. Foto: FB FAM
Luqman Hakim bersama pemain lain giat menjalani latihan pada hari pertama sesi latihan Fasa 2 di Padang PKNS 2, hari ini. Foto: FB FAM
A
A
A

KETUA jurulatih skuad bawah 19 tahun negara (B-19) Brad Maloney perlu merangka perancangan baharu sekiranya pemain remaja sensasi Luqman Hakim Shamsudin tidak dapat menyertai skuad negara ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19, 2020 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Menurut Maloney, Luqman Hakim berkemungkinan tidak dapat beraksi bersama pasukan negara jika kelab bola sepak profesional Belgium, KV Kortjik memanggil beliau untuk menyertai kelab berkenaan.

“Meskipun beliau mempunyai komitmen bersama kelab di Belgium, beliau masih boleh mengikuti latihan memandangkan Selangor II tidak menggunakan khidmatnya buat masa ini.

“Saya berharap untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain (termasuk Luqman Hakim) memandangkan ada dalam kalangan mereka muka baharu dipanggil menyertai fasa kedua tidak cergas sepenuhnya,” katanya pada hari pertama sesi latihan Fasa 2 di Padang PKNS 2, hari ini.

Seramai 25 pemain melapor diri bagi mengikuti latihan pusat Fasa 2 kecuali lima pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang diberikan pengecualian untuk menyelesaikan urusan pendaftaran persekolahan mereka.

Mereka adalah Muhammad Faiz Amer Runnizar, Mohammad Marwan Abdul Rahman, Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri and Ziad Al Basheer Norhisham.

Sementara itu, Maloney tidak menolak kemungkinan mengadakan dua atau tiga perlawanan pemanas badan menentang beberapa kelab tempatan untuk melihat prestasi anak buahnya sebelum beraksi di Uzbekistan.

Sementara itu, Luqman Hakim ketika ditemui berkata beliau sudah melupakan beberapa isu kontroversi yang melandanya sebelum ini bagi memberi tumpuan pada sesi latihan pusat Fasa 2.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum pasti untuk menyertai kejohanan di Uzbekistan memandangkan dirinya sudah mempunyai perjanjian awal dengan kelab profesional Belgium berkenaan.

Luqman Hakim berkata, kehadiran pemain muda negara yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal mampu memberi impak kepada skuad B-19 kebangsaan pada kejohanan di Uzbekistan nanti.

Sesi latihan pusat Fasa 2 yang bermula hari ini hingga 30 Ogos, akan disusuli latihan Fasa 3 pada September sebelum Maloney menyenaraikan senarai akhir 23 pemain ke Uzbekistan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D, memulakan kempen kejohanan menentang Tajikistan pada 16 Oktober Qatar (19 Oktober), sebelum menamatkan aksi pusingan awal berdepan Yemen pada 22 Oktober di Stadium AGMK, Olmalik.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan, layak ke peringkat suku akhir manakala empat pasukan yang mara ke separuh akhir, layak secara automatik ke Piala Dunia B-20, 2021 di Indonesia.