Mendiang Krishnasamy bapa tegas tapi penyayang

Thanaselan (kiri) meletakkan gambar ayahnya, mendiang Krishnasamy ditepi keranda di tempat pengebumian Paya Terubong hari ini. - Foto Bernama
Thanaselan (kiri) meletakkan gambar ayahnya, mendiang Krishnasamy ditepi keranda di tempat pengebumian Paya Terubong hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - "Walaupun bapa kami seorang yang tegas, dia juga amat menyayangi kami,” kata K Thanaselan, anak lelaki bekas atlet Olimpik dan pemain bola sepak negara, mendiang V Krishnasamy.

Biarpun bapanya merupakan pemain bola sepak kebangsaan, Thanaselan, 44, berkata, mendiang sering mengingatkan anak-anaknya untuk fokus dalam pelajaran sebelum meneruskan minat lain terutama dalam bidang sukan.

Beliau berkata, mendiang bapanya berasal daripada keluarga miskin dan tidak mendapat pendidikan tinggi ketika dia masih muda, tetapi bakatnya bermain bola sepak telah memberikan manfaat buatnya dan keluarga.

"Dia (mendiang) seorang bapa yang sangat tegas tetapi pada masa yang sama dia sangat menjaga keluarganya dan tidak pernah memaksa kami untuk mengikut jejaknya. Sebaliknya, dia selalu ingin kami cemerlang dalam pelajaran," katanya kepada pemberita di rumah urus mayat Paya Terubong di sini hari ini.

Krishnasamy, 72, atlet Malaysia ke Sukan Olimpik 1972 di Munich telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang, Jumaat lepas dan meninggal dunia pada jam 8.29 malam semalam kerana komplikasi jantung setelah lama bertarung dengan penyakit diabetes.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pemain bola sepak Olimpik, Krishnasamy meninggal dunia

Thanaselan berkata, bapanya dimasukkan ke hospital selepas dia mengadu sukar bernafas pada Jumaat dan tidak sedarkan diri pada hari yang sama sebelum dia meninggal dunia semalam.

Katanya, ketika bapanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di hospital, beliau akan memainkan video perlawanan bola sepak menerusi aplikasi YouTube dengan harapan boleh membuatkan bapanya sedar.

Artikel Berkaitan:

"Pada mulanya ada reaksi ketika bapa mendengar pengulas sukan berbicara mengenai pertandingan bola sepak, reaksi itu sangat jelas, menunjukkan betapa bapa begitu mencintai bola sepak," katanya.

Thanaselan yang bekerja sebagai juruteknik berkata, beliau akan menonton perlawanan bola sepak dengan bapanya pada hujung minggu dan mendiang, sebagai peminat Arsenal, gembira ketika Arsenal mengalahkan Liverpool pada perlawanan bulan lepas.

"Setiap hujung minggu, kami menghabiskan masa bersama untuk menonton bola sepak. Saya pasti akan merinduinya," katanya sambil cuba mengawal emosi.

Krishnasamy meninggalkan isteri, S Raza, 72; anak sulung, Kassturi, 45, dan empat cucu.

Mayat Krishnasamy dibakar di Krematorium Hindu Batu Lanchang pada jam 1 tengah hari tadi. - Bernama