Perhalusi kumpul tiga pasukan

Laporan Sinar Online 3 Ogos lalu.
Laporan Sinar Online 3 Ogos lalu.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta untuk memperhalusi cadangan menempatkan tiga pasukan dari Kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak United dan Kuching FA di Semenanjung bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula 26 Ogos ini.

Menurut legenda Sarawak, Mazlan Wahid, cadangan itu wajar diperhalusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya MFL bagi memastikan baki saingan Liga-M dapat berlangsung dalam suasana tenang dan lancar.

“Secara peribadi, saya menyokong cadangan itu atas faktor keselamatan dan kesihatan para pemain, jurulatih dan pegawai pasukan dari Kepulauan Borneo selepas melihat situasi yang berlaku di Sarawak sejak kebelakangan ini.

“Mungkin pemain-pemain akan terasa rindu suasana di gelanggang keramat masing-masing. Namun, keutamaan pada masa ini semua pihak haruslah berkorban demi memastikan saingan liga dapat berjalan dengan baik mengikut jadual,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jika cadangan itu dapat dilaksanakan, Mazlan yang juga bekas penjaga gol Sarawak turut berharap FAM dan MFL dapat menampung sebahagian kos logistik ketiga-tiga pasukan berkenaan.

“Kita pun tidak tahu berapa lama lagi masalah ini akan berlarutan kerana kita hanya ada masa kurang sebulan lagi sebelum saingan liga kembali bersambung pada 26 Ogos ini.

“Sebaik-baiknya cadangan ini dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan setiap pasukan yang sudah bersemangat melakukan persiapan sejak mendapatkan feel good factor di tempat baharu,” jelasnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa mencadangkan MFL menempatkan ketiga-tiga pasukan itu di Semenanjung ekoran senario terkini peningkatan kes Covid-19 khasnya di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MFL perlu mengambil inisiatif membawa ketiga-tiga pasukan terbabit ke Semenanjung bagi membolehkan aksi Liga-M berjalan lancar berikutan situasi semasa di Kuching.

“Lembah Klang adalah lokasi yang terbaik bagi menempatkan pasukan Sabah, Sarawak United dan Kuching FA bagi memudahkan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) seterusnya memastikan Liga-M berlangsung dengan lancar dalam aspek keselamatan dan kesihatan.

“Tiga pasukan ini boleh sahaja menggunakan penempatan universiti seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) atau Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mempunyai akses mudah ke padang latihan.

“Penempatan berpusat skuad Sabah, Sarawak United dan Kuching FA ini juga secara tidak langsung membantu mengurangkan kos operasi logistik kesemua pasukan Liga Super dan Liga Premier untuk ‘terbang’ ke Kepulauan Borneo,” ujarnya.

Sementara itu, bekas kapten Sarawak, Abdul Jalil Rambli menyambut baik cadangan untuk menempatkan tiga pasukan iaitu Sabah, Sarawak United dan Kuching FA di Semenanjung bagi mengharungi baki saingan Liga-M nanti.

Bagaimanapun, beliau berharap FAM dan MFL dapat memberi fokus terhadap soal penempatan dan logistik dalam menangani perkara tersebut.

“Demi keselamatan dan kesihatan para pemain, jurulatih dan pegawai pasukan dari Kepulauan Borneo, saya melihat cadangan ini sebagai sesuatu yang perlu diperhalusi oleh FAM dan MFL.

“Sekiranya ia tidak melibatkan kos tambahan kepada Sabah, Sarawak United dan Kuching FA, maka saya anggap ia cadangan yang bagus kerana semua bahawa pasukan Liga-M musim ini sudah pun cukup terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Dari segi kos operasi, FAM atau MFL boleh bantu kurangkan beban. Maksud saya tidaklah semua tetapi apa yang patut kepada ketiga-tiga pasukan itu bagi memudahkan mereka mengharungi baki saingan liga dengan sempurna,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Jalil turut berharap ketiga-tiga pasukan terbabit diberikan kemudahan paling terbaik dari segi logistik yang mana sesuai dengan status profesional liga bola sepak tempatan.

“Penempatan pasukan-pasukan itu perlulah kondusif. Paling penting, penempatan itu selesa serta sesuai dengan iklim profesional bola sepak negara pada masa ini kerana kita tidak mahu mereka mendapat kemudahan ala kadar sahaja.

“Kita kena ingat bahawa mereka ini akan berjauhan dengan ahli keluarga masing-masing untuk satu tempoh yang agak panjang. Jadi suasana kondusif penting kerana mereka semua adalah pemain profesional,” jelasnya.