Ramai 'menumpang' bila UMNO kuat

Najmil Faiz Mohamed Aris
Najmil Faiz Mohamed Aris
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO perlu belajar daripada kesilapan lepas dan memperkuatkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) untuk terus ke hadapan.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pimpinan dan akar umbi yang setia tidak harus lupa bagaimana ramai pihak yang akan 'menumpang' apabila UMNO kuat, namun meninggalkan parti apabila mula lemah.

“Setelah 22 bulan menjadi pembangkang dan tidak mempunyai apa-apa ‘alat politik’ seperti dahulu, UMNO hanya tinggal kesetiaan akar umbi. Kita menang banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana sokongan dan gerak kerja akar umbi yang padu.

“Kekuatan UMNO dibina oleh ahli parti yang setia. Dalam pembahagian kerusi, aspek ini amatlah perlu ditekankan. Kerjasama dalam MN adalah keutamaan kita. Itu yang akar umbi mahukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Najmil berkata, UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan lepas apabila memberi banyak kerusi pada parti komponen dan akhirnya menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Lebih teruk, katanya, mereka meninggalkan gagasan BN dan yang tinggal hanyalah UMNO sahaja.

“Ada juga yang lompat parti untuk kepentingan sendiri dan masih lagi berharap untuk bertanding di kerusi UMNO. Jika trend ini masih diteruskan, politik Malaysia tidak akan maju dan selamanya mundur," katanya.

Artikel Berkaitan: