Hampir 90 peratus bilik resort di pulau Terengganu habis ditempah

Pulau Perhentian antara lokasi popular dalam kalangan pelancong.
Pulau Perhentian antara lokasi popular dalam kalangan pelancong.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Promosi yang berstruktur dan terancang merupakan faktor penting kenapa sektor pelancongan Terengganu adalah antara yang terawal pulih dan berjaya menarik lebih ramai pelancong.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rashid Jusoh berkata, ia hasil kerjasama erat jabatan itu, kerajaan negeri serta pemain industri pelancongan di negeri ini dalam memastikan pemulihan lebih cepat.

Menurutnya, antara promosi yang dilakukan adalah membuat video dan promosi pakej di media sosial dengan memperkenalkan lokasi-lokasi tarikan di Terengganu.

“Sebenarnya, kita sudah menjangkakan kesan Covid-19 terhadap industri pelancongan yang mungkin akan mengambil masa yang lama untuk pulih, memandangkan kita akan ‘hilang’ ramai pelancong luar negara. Sebab itu kita memikirkan cara bagaimana untuk memperkuatkannya kembali dengan menarik pelancong domestik.

“Jadi, antara perancangan yang kita lakukan adalah dengan menggunakan pengaruh dan melibatkan ikon tempatan seperti Mat Dan dan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang mempunyai ramai pengikut.

“Kita juga bekerjasama dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), Tourism Malaysia dan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu dalam membuat video promosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Pulau Perhentian sering kali menjadi pilihan pelancong.
Pulau Perhentian sering kali menjadi pilihan pelancong.

Jelas Ab Rashid, antara penekanan yang dibuat pihaknya adalah dengan mempelbagaikan promosi yang kreatif dan berkesan dengan menonjolkan produk pelancongan menarik seperti pantai dan pulau.

Artikel Berkaitan:

Malah, mereka turut memulakan kempen ‘Ingat Pantai, Ingat Terengganu’ dan ‘Ingat Pulau, Ingat Terengganu‘.

“Apa yang mengejutkan kita, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini yang meningkat mendadak, khususnya di pulau sejak kelonggaran yang diberikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Malah, maklumat yang kita terima, hampir 90 peratus daripada lebih 1,300 bilik di hotel dan resort di pulau habis ditempah sempena musim cuti pada Hari Raya Aidiladha. Ini satu perkembangan yang cukup baik, mungkin mereka merasakan sudah lama berkurung dan inilah masa dan peluang untuk mereka bercuti,” katanya.

  • Pulau popular di Terengganu
  • Pulau Perhentian
  • Pulau Redang
  • Pulau Lang Tengah
  • Pulau Kapas
  • Pulau Gemia
  • Pulau Bidong
  • Pulau Tenggol