Rumah mampu milik serendah RM80,000 seunit

Adly ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar di SMK Simpang Bekoh, di sini, hari ini.
Adly ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar di SMK Simpang Bekoh, di sini, hari ini.
A
A
A

JASIN - Kerajaan negeri bakal mengumumkan berita baik kepada rakyat Melaka yang berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah mampu milik yang dianggarkan serendah RM80,000 setiap unit.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, projek dengan kerjasama syarikat swasta yang berkelayakan itu telah pun berada di fasa pembinaan model rumah yang dinamakan Rumah Harapan dalam usaha membantu golongan itu memiliki kediaman sendiri dan lebih selesa dengan harga berpatutan sehingga RM180,000.

Menurutnya, Melaka merupakan negeri pertama yang melaksanakan format rumah harapan dan kerajaan negeri turut bercadang memperkasakan lagi inisiatif berkenaan dalam tempoh lima tahun demi mencapai matlamat 48,000 unit rumah.

"Pembinaan rumah kos rendah pada julat harga lebih murah telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan hanya dihadkan kepada kelompok kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.

No Image Caption

"Ini adalah langkah kerajaan negeri menyahut saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai isu perumahan bagi golongan B40," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran bantuan awal persekolahan peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, di sini, semalam.

Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan dalam mewar-warkan mengenai projek perumahan Rumah Harapan dengan mengadakan pelancaran besar-besaran bagi pemilikan rumah mampu milik yang antaranya berhubung kemudahan pinjaman menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Mac depan.

Artikel Berkaitan:

"Secara asasnya kita sedar antara cabaran terbesar pemilikan rumah bagi B40 kesukaran mereka untuk mendapatkan pinjaman.

"Maka melalui kerjasama dengan KPKT dan BNM, isu kemudahan pinjaman akan dapat diatasi, seterusnya memberi manfaat kepada golongan ini (B40) memiliki rumah," katanya.

Tambahnya, setakat ini, sebanyak 48,000 unit rumah mampu milik telah disasarkan dan 24,000 unit sedang dalam pembinaan seperti di Bandar Jasin Bestari dengan purata 70 peratus permohonan diterima pemaju bagi rumah mampu milik berharga RM110,000.

"Namun dalam situasi itu hanya 20 peratus yang lulus pinjaman perumahan, manakala 50 peratus lagi gagal disebabkan halangan kelulusan pinjaman.

"Melalui usaha baharu yang dibuat, kita akan memastikan kumpulan B40 lebih senang mendapat kelulusan pinjaman perumahan, malah akan memberikan beberapa insentif termasuk pengecualian pembayaran yuran guaman," katanya.

Dalam majlis itu, Adly turut mengumumkan sebanyak RM8.71 juta peruntukan diagihkan secara berperingkat kepada seramai 87,187 pelajar sekolah di negeri ini bagi bantuan awal persekolahan 2019.