X

Kindly register in order to view this article
!

Umat Islam selesai mengerjakan haji

Jemaah haji yang melakukan penjarakkan sosial mengelilingi Kaabah di Makkah. - Foto AFP
A
A

MAKKAH - Jemaah haji mengelilingi Kaabah dengan berjalan kaki untuk mengerjakan tawaf Al-Wida dalam keadaan penjarakkan sosial bagi menandakan tamatnya ibadat itu hari ini.

Pada tahun ini, 10,000 umat Islam iaitu jumlah yang jauh lebih kecil berbanding 2.5 juta jemaah haji pada tahun lalu mengerjakan ibadat itu selama lima hari.

Mereka memakai pelitup muka dan membaling batu di sebuah dinding sebagai simbolik merejam syaitan di Mina berdekatan Makkah pada hari terakhir ibadat tersebut, lapor media kerajaan.

Berbanding mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah pada tahun lalu, pada tahun ini mereka diberikan beg yang sudah disterilkan oleh pihak berkuasa haji bagi melindungi pandemik koronavirus (Covid-19).

Jemaah haji itu kemudian kembali ke Masjidil Haram untuk membuat tawaf Al-Wida dengan mengelilingi Kaabah.

Mengendalikan ibadat haji ketika dibayangi pandemik Covid-19 memerlukan usaha berganda oleh pihak berkuasa Arab Saudi, kata pemerintah negara itu, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud pada Jumaat lalu selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital berikutan pembedahan untuk mengeluarkan hempedu.

"Ibadat haji tahun ini dihadkan kepada jumlah yang amat terhad dari pelbagai negara, memastikan ia selesai (diadakan) walaupun terdapat keadaan yang sukar," kata baginda yang berusia 84 tahun.

Pihak berkuasa haji berkata, tidak ada kes Covid-19 dilaporkan di Tanah Suci itu semasa ibadat haji.

Jemaah haji yang melakukan penjarakkan sosial dan suhu badan mereka diperiksa akan menjalani kuarantin mandatori selepas mengerjakan haji, kata pihak berkuasa.

Pada kebiasaanya, kos mengerjakan haji melibatkan ribuan dolar disimpan selama beberapa tahun dan terpaksa menunggu bagi tempoh yang lama sebelum dibenarkan menunaikan ibadat tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi membiayai perbelanjaan semua jemaah haji dengan menyediakan makanan, penginapan hotel dan penjagaan kesihatan, kata beberapa jemaah haji. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!