NASP tentu hala tuju pembangunan lapangan terbang

Wee Ka Siong - Foto Bernama
Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) bagi tujuan menentukan hala tuju pembangunan lapangan-lapangan terbang di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kajian itu meliputi semua pembangunan lapangan terbang dan lapangan terbang landasan pendek (STOLPORT) dalam negara bagi melihat peranan, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik.

"Selepas pandemik Covid-19 ini, kita kena lihat semua lapangan terbang kita. Kalau keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang boleh sampai 20 juta penumpang, campur Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, 26 juta (penumpang).

"Ini bermaksud hampir 50 juta penumpang, mereka akan berebut. Jadi, biar tunggu NASP siap," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya, sebarang cadangan pembangunan lapangan terbang baharu termasuk di Pulau Tioman, Pahang akan hanya dapat dipertimbang selepas kajian NASP dimuktamadkan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Ka Siong memaklumkan bahawa beliau telah meminta kementeriannya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk mengadakan perbincangan dengan persatuan pengeluar dan penjual kenderaan selain pihak pengeluar serta pengimport kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bagi membantu mengurangkan beban kewangan pengguna.

Pelaksanaan dasar penggunaan CRS telah bermula sejak 1 Januari lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: