UNESCO musuh kelestarian

Hagia Sophia
Hagia Sophia
A
A
A

APABILA tentera salib Katolik menakluk Andalusia, bukan sekadar masjid diubah kepada gereja atau diroboh tetapi Muslimin dipaksa murtad beramai-ramai kepada agama Kristian. Murtad atau mati!

Apabila baru-baru ini Turki mengubah Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid, Perdana Menteri Yunani bangun mengutuk Turki kerana tidak menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Apa yang Perdana Menteri itu senyapkan adalah negara Yunani telah sama ada merobohkan masjid-masjid yang dibina pada zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah atau mengubahnya menjadi gereja, muzium atau dewan orang ramai.

Bahkan, Masjid Hamza Bey yang dibina pada kurun ke-15 pernah diubah kepada panggung pelacuran dan porno! Penganut agama Kristian Ortodok di Yunani begitu anti-Islam sehingga di sana sekarang tidak terdapat sebuah masjid pun wujud.

Namun, yang paling mengecewakan apabila Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mewakili semua negara di dunia turut membantah tindakan Turki mengubah Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid. Alasannya, Hagia Sophia merupakan lambang simbolik dialog harmoni antara penganut agama.

Apabila muzium ditukarkan kepada masjid, UNESCO mendakwa bahawa nilai-nilai sejagat kemanusiaan pun terhakis kerana Hagia Sophia tidak lagi memainkan peranan sebagai platform dialog silang budaya.

UNESCO inilah yang begitu tekun mempropagandakan (Sustainable Development Goals (SDG) iaitu tentang 17 kategori kelestarian. UNESCO inilah yang begitu tekun mempromosi kesamarataan jantina termasuk hak kahwin gay.

UNESCO inilah yang begitu memaksa dunia untuk menerima falsafah Hak Asasi Kemanusiaan. UNESCO adalah sebahagian daripada United Nations (UN) yang begitu cepat mengiktiraf penubuhan Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat pada tahun 1948 tetapi begitu lambat menghukum Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Di mana suara UNESCO berkenaan masjid-masjid bersejarah yang di robohkan dan ditukar kepada sarang pelacuran di Greece?

Apakah falsafah SDG atau kelestarian UNESCO sebenarnya? Bagi UNESCO, Turki telah melanggar 'nilai-nilai sejagat' (universal values). Sebarang usaha yang melanggar nilai-nilai sejagat itu sudah tentu menghakis kelestarian atau SDG. Kalau kita membaca seluruh penjelasan UNESCO tentang SDG di laman web UNESCO sendiri, kita tidak akan jumpa kalimah 'kebenaran'. Kalau kita baca penjelasan UNESCO tentang target pendidikan berkualiti 2030, kalimah 'kebenaran' tidak wujud sama sekali!

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2016, Kamus Oxford telah mendapati Era Pasca-Kebenaran sudah bermula. Maknanya kita hidup dalam era di mana kebenaran bukan lagi kalimah paling utama dalam hidup kita. Falsafah SDG UNESCO mengetepikan wacana tentang Kebenaran yang dianggap tidak lestari (sustainable)! Apabila Ataturk menukar masjid Hagia Sophia kepada muzium, ia menandakan kejayaan sekularisme mengalahkan kebenaran. Apabila Turki mengembalikan Hagia Sophia kepada masjid, ia menandakan kebangkitan perjuangan membela kebenaran.

Kelestarian yang sebenar adalah bertonggakkan kebenaran. Pendidikan yang sebenar adalah pendidikan yang memberi ilmu yang benar. Surah Al-Baqarah ayat 42 telah memberi diagnosis jitu tentang krisis era kita iaitu wujud gerakan global yang merancang mencampuradukkan kebenaran dan kebatilan dan menyembunyikan kebenaran (Al-Haqq). Gerakan itu mahu kebenaran hanya menjadi bahan sejarah di muzium!

Khilafah Rashidun, Abbasiyah, Uthmaniyah dan Andalusia merupakan testimoni kepada makna kelestarian atau SDG yang terbukti berjaya apabila kebenaran diangkat. SDG UNESCO gagal menghalang Yunani, India, China, US dan Israel daripada meroboh kelestarian kemanusiaan sejagat. UNESCO hanyalah badut kolonialisme pascakebenaran.

*Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak