EGM jalan terakhir selamatkan bola sepak Kelantan

Hashim Mustapha
Hashim Mustapha
A
A
A

MESYUARAT Agung Luar Biasa (EGM) adalah jalan terakhir untuk mengelakkan Persatuan Bola Sepak Kelantan daripada digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana masalah kewangan serta gagal menyelesaikan hutang.

Legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha berkata, pelaksanaan EGM itu adalah bagi memberi laluan kepada persatuan untuk menentukan hala tuju baharu bola sepak negeri yang mengalami pelbagai masalah baik dari segi kewangan, pengurusan dan sebagainya.

Katanya, KAFA yang diterajui pemangku presiden Datuk Shaari Mat Husin, memerlukan barisan kepimpinan yang berupaya membantu menyelesaikan masalah khususnya kewangan yang dihadapi persatuan berkenaan ketika ini.

“Kalau beliau (Shaari) rasa mampu memikul tanggungjawab dengan kekurangan kepimpinan, bermakna beliau anggap tiada keperluan untuk adakan EGM.

"Namun jika beliau merasakan tidak mampu, perlu adakan EGM bagi memilih dan pihak-pihak yang terlibat dengan KAFA mengemukakan calon untuk membentuk barisan kepimpinan baharu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, KAFA dilaporkan memberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi menguruskan persatuan dan pasukan kepada Shaari apabila Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meletak jawatan selaku presiden pada 6 Julai lepas.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah pula masih dalam status ‘berehat’ selain difahamkan terdapat dua hingga tiga ahli majlis yang tidak didedahkan nama mereka turut meninggalkan persatuan itu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, jika EGM diadakan, beliau berharap semua ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) perlu berhati-hati serta bertanggungjawab untuk memilih individu yang mampu memulihkan semula bola sepak negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Tidak boleh lagi main wujud kem individu tertentu, perlu pilih sebaik mungkin terutamanya bagi jawatan penting persatuan.

“Begitu juga dengan jawatan exco, perlu cari yang boleh buat kerja terutamanya melibatkan kewangan KAFA," katanya.- Bernama