Kelantan dipotong tiga mata

Aksi Liga Premier antara Kelantan dan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Mac lalu.
-Foto: FB Kelantan FA
Aksi Liga Premier antara Kelantan dan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Mac lalu. -Foto: FB Kelantan FA
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dengan serta-merta bagi saingan Liga Premier 2020 kerana gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Skuad The Red Warriors (TRW) turut berisiko hilang lesen kelab tahun ini, sekali gus tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2021 jika gagal mengemukakan penyelesaian tunggakan gaji pemain dan pegawai sebelum 31 Ogos ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu diambil pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata, Kelantan sebelum ini berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak pada tarikh akhir bayaran ansuran pertama dan kedua iaitu pada 31 Januari dan 29 Februari sebelum diberikan tempoh sehingga 30 April untuk menyelesaikan baki bayaran mengikut ketetapan.

“Sekiranya Kelantan gagal berbuat demikian, ia boleh mengakibatkan tindakan pemotongan tiga mata dikenakan. Bagaimanapun, setelah mengambil kira situasi semasa akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), FIB Pelesenan Kelab FAM telah membuat keputusan untuk melanjutkan masa sehingga 30 Julai.

“Namun sehingga 30 Julai, tiada sebarang pembayaran baki yang masih tertunggak dibuat sepertimana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM. Kelantan telah menghantar surat kepada FAM bertarikh 30 Julai dengan permintaan kelonggaran dan lanjutan masa sehingga tamat musim 2020.

“Jadi FIB Pelesenan Kelab FAM telah membuat keputusan untuk kekal dengan tarikh akhir seperti yang ditetapkan dalam surat bertarikh 8 Julai dan peringatan melalui e-mel bertarikh 27 Julai kepada Kelantan untuk menyelesaikan bayaran tunggakan pada 30 Julai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat itu turut membincangkan kes membabitkan pasukan Persatuan Bolasepak Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Dua pasukan Liga Super, PDRM dan Melaka yang dikenakan pemotongan tiga mata pada awal tahun ini, menunjukkan langkah positif dalam menyelesaikan hutang kepada pemain dan pegawai, katanya.

Sementara itu, Sarawak pula mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), sama seperti pasukan Kelantan, PDRM dan Melaka yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada LHDNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Mengikut Peraturan Pelesenan Kelab FAM, tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan Perkeso mesti dilunaskan dengan pembayaran atau rancangan penyelesaian menjelang 31 Ogos. Jika pembayarannya belum diselesaikan, maka ia akan dibawa untuk penilaian FIB Pelesenan Kelab FAM bagi mendapatkan Lesen Kelab bagi tahun 2021.

“FAM sekali lagi menasihatkan dan pada masa sama memberi amaran kepada pasukan-pasukan ini supaya bersikap serius dalam menyelesaikan pembayaran ansuran tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai serta tunggakan hutang kepada LHDNM, KWSP dan Perkeso ini mengikut tarikh ditetapkan,” katanya.- Bernama