Tambah sistem pam atasi banjir kilat di Seri Muda

Izham (tiga dari kiri) membuat tinjauan di sekitar Seri Muda bersama wakil penduduk, ahli majlis dan JPS. Foto: Ihsan FB Izham Hashim
Izham (tiga dari kiri) membuat tinjauan di sekitar Seri Muda bersama wakil penduduk, ahli majlis dan JPS. Foto: Ihsan FB Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem pam berkuasa tinggi akan ditambah di pintu-pintu air sekitar Seri Muda dalam masa terdekat bagi mengatasi isu banjir kilat yang seringkali berlaku di kawasan ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, langkah penambahbaikan itu dicapai menerusi lawatannya baru-baru ini bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ahli majlis dan wakil penduduk kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan bagi menyediakan tambahan pam berkuasa tinggi berkenaan dalam usaha mengurangkan risiko banjir kilat di sini.

"Langkah ini juga turut meliputi kerja-kerja menaik taraf parit-parit berdekatan kawasan terlibat," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook hari ini.

Sebelum ini, kawasan Seri Muda seringkali berdepan isu banjir kilat sekiranya taburan hujan tinggi sehingga menyebabkan ada di antara penduduk perlu ditempatkan sementara ke pusat pemindahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau juga pernah menyatakan bahawa Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah meluluskan 30 projek khas pada tahun ini melibatkan penambahbaikan dan naik taraf longkang.

Mengulas lanjut mengenai penambahbaikan tersebut, Izham berkata, aliran air dari lebuhraya dan kawasan industri berdekatan lokasi berkenaan juga akan turut dialihkan ke sistem saliran alternatif selepas ini.

"Kita juga akan bekerjasama dengan MBSA bagi memastikan isu sampah yang banyak menghalang aliran air ke kolam takungan banjir dapat diatasi.

Artikel Berkaitan:

"Dianggarkan tiga atau empat tan sampah sangkut pada trash screen kolam takungan banjir setiap kali hujan lebat sehingga menyebabkan backflow serta banjir kilat di Seri Muda," katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menyeru penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata tempat berikutan dibimbangi akan menghalang sistem saliran dan kolam takungan untuk berfungsi dengan efisyen.