Lapor jika nampak individu pakai 'gelang pink' di Kedah

Maklumat yang tular di media sosial. Gambar kiri: Dr Mohd Fikri Ujang
Maklumat yang tular di media sosial. Gambar kiri: Dr Mohd Fikri Ujang
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai diminta melaporkan segera kepada polis atau pejabat kesihatan sekiranya terserempak dengan individu memakai 'gelang pink' yang menandakan pulang dari luar negara dan perlu menjalani kuarantin di rumah berada di tempat awam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, orang ramai perlu peka membantu dan menjadi mata dan telinga Jabatan Kesihatan untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) Kluster PUI Sivagangga ke daerah lain yang belum terjejas di negeri itu.

Menurutnya, antara yang boleh dilakukan termasuk dengan berkongsi gambar berkaitan agar individu terbabit dapat dikesan dan diambil tindakan.

“Pemakai 'gelang pink' milik Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya dikuarantin di rumah dan tidak boleh keluar ke tempat awam.

"Sekiranya berdegil, orang awam yang nampak boleh laporkan kepada polis atau pejabat kesihatan berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan tular di media sosial berhubung kemungkinan kehadiran individu ‘gelang pink’ di Kampung Bakar Sampah, Alor Setar.

Dr Mohd Fikri berkata, tindakan menularkan individu memakai 'gelang pink' bukan untuk menghukum sebaliknya sebagai pengajaran kepada individu lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.

“Apa yang komuniti perlu buat tularkan agar semua patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat kerajaan kerana dalam keadaan sekarang, setiap orang berpotensi untuk dijangkiti sama ada pakai gelang atau tidak,” katanya.

Artikel Berkaitan: