KPM ambil guru pendidikan khas secara kontrak tahun depan

Dr Mah Hang Soon
Dr Mah Hang Soon
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak pada tahun depan mengikut keperluan.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sehingga 30 Jun lalu terdapat seramai 16,492 guru pendidikan khas di seluruh negara.

Menurutnya, jumlah Murid Berkeperluan Khas (MBK) pula seramai 92,755 orang membabitkan 2,644 murid Sekolah Pendidikan Khas (SPK), 73,656 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 16,455 murid Program Pendidikan Inklusif (PPI).

“Bagi memenuhi keperluan guru pendidikan khas, KPM meneruskan pengambilan pelajar program ljazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) opsyen Pendidikan Khas di Institusi Pendidikan Guru.

“Pada tahun 2020, seramai 180 orang pelajar PISMP opsyen Pendidikan Khas telah ditawarkan tempat dan dengan ini, jumlah bekalan guru baharu untuk tahun 2022 hingga 2025 ialah seramai 516 orang.

“Di samping itu pada tahun ini juga KPM melaksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) Pendidikan Khas kepada 360 guru arus perdana,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai jumlah murid berkeperluan khas dan guru pendidikan khas serta perancangan menambah bilangan guru terbabit.

Artikel Berkaitan: