Kerajaan Selangor zahir ucapan tahniah

Amirudin merakamkan gambar bersama penerima urat penghargaan Smart Partnership Kohijrah.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau mewakili rakyat negeri ini merafak sembah dan menjunjung kasih atas pelantikan baginda.

"Semoga pelantikan ini dapat memastikan perjalanan dan pelaksanaan pentadbiran Selangor serta Malaysia menjadi lebih baik dan teratur.

"Saya selaku Menteri Besar dan mewakili seluruh rakyat mengucapkan tahniah atas pengumuman yang diumumkan Majlis Raja-Raja hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH) dan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Seksyen 32 di sini, petang tadi.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Berdasarkan kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia