Tertekan pedal minyak, kereta rempuh kedai runcit

Sebuah kereta dipandu seorang wanita merempuh kedai runcit selepas tertekan pedal minyak yang disangka pedal brek di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Sabtu lalu.
Sebuah kereta dipandu seorang wanita merempuh kedai runcit selepas tertekan pedal minyak yang disangka pedal brek di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Sabtu lalu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Gara-gara tersilap tekan pedal minyak akibat terkejut sebuah motosikal melintas di hadapan, kereta dipandu seorang wanita meluncur laju dan merempuh sebuah kedai runcit di Felda Air Tawar 5 di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada jam 9 malam, Siti Normala Dakir, 41, yang memandu kereta Proton Saga bersama-sama anaknya berusia 15 tahun keluar dari simpang berhadapan sebuah kedai dobi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, sebuah motosikal tiba-tiba melintas di hadapan kereta, lalu mangsa terkejut dan tersilap menekan pedal minyak yang disangka pedal brek.

"Ini mengakibatkan kereta mangsa bergerak ke hadapan dan merempuh sebuah kedai runcit di seberang jalan namun wanita berkenaan dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, wanita berkenaan membuat laporan pada jam 12 tengah hari kelmarin di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan punca kemalangan akibat pemandu gagal mengawal keretanya ketika keluar simpang.

Dalam pada itu, Hussin mengingatkan orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menghentikan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Katanya, pada hari pertama penguatkuasaan pemakaian pelitup muka, Kota Tinggi menjadi daerah paling banyak dikenakan kompaun di negeri ini melibatkan 26 individu manakala tiga lagi di Iskandar Puteri.

Artikel Berkaitan: