RM1.479 billion tuntutan bayaran balik GST diluluskan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuntutan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memerlukan tindakan penentusahan, auditan atau siasatan sebelum pembayaran balik dibuat kepada pendaftar.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, berdasarkan Seksyen 8 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, tempoh masa untuk pembayaran balik GST yang dibenarkan adalah enam tahun mulai dari 1 September 2018.

Menurutnya, sebagai langkah untuk memastikan pembayaran balik GST dapat dibuat dalam masa terdekat, kerajaan bersetuju supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil pendekatan ‘bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih’ berdasarkan akta tersebut mengikut kriteria tertentu melalui pengumuman pada 15 Jun lalu.

“Selaras dengan pengumuman tersebut, sejumlah RM1.479 bilion telah diluluskan untuk pembayaran bagi tempoh 22 Jun 2020 sehingga 8 Julai 2020.

“Baki tuntutan bayaran balik GST yang belum dibayar ialah sebanyak RM4.763 bilion.

“Antara kekangan yang menyebabkan tuntutan bayaran balik GST belum dapat dibayar kepada GST seperti maklumat bank pendaftar tidak sah dan gagal memberi maklum balas dan mengemukakan dokumen yang dikehendaki untuk verifikasi,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) mengenai pembayaran balik GST yang tertangguh.

Mengulas lanjut Mohd Shahar berkata, kesemua tunggakan bayaran balik GST itu dijangka dibuat selewat- lewatnya sebelum akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan di dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini,” ujarnya.