Najis lipas, jentik-jentik dalam stor makanan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Satu operasi pemeriksaan mengejut oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta beberapa agensi lain membongkar satu premis restoran yang beroperasi dalam keadaan menjijikkan termasuk kehadiran najis lipas dan jentik-jentik ditemui di dalam stor makanan mereka.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, premis di Seksyen 13 itu telah diarahkan tutup operasi serta merta selama dua minggu didapati mengabaikan tahap penjagaan kebersihan dalam operasi.

"Hasil pemeriksaan pihak MBSA, pemilik premis makanan itu mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing khususnya dari aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan yang kurang bersih, kebersihan tandas yang kurang memuaskan, pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) dan sebagainya.

No Image Caption

"Kegagalan pemilik premis mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan tindakan boleh diambil mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007," katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak sembilan buah premis di sekitar Seksyen 13 diperiksa dan selain notis arahan tutup kepada salah satu premis, 12 notis pemberitahuan dan empat kompaun turut dikeluarkan.

Turut terlibat dalam operasi ialah Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan selain beberapa agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shahrin menjelaskan untuk tahun 2018 sahaja MBSA telah menjalankan pemeriksaan di 615 premis dan dari jumlah ini 28 premis telah ditutup.

Salah seorang penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap restoran berkenaan.
Salah seorang penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap restoran berkenaan.

Katanya, pada tahun 2019 sehingga 21 Januari 2019 pula, sebanyak 68 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 3 premis telah ditutup.

"Operasi seperti ini akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis-premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Pihak MBSA berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan yang dikeluarkan oleh pihak MBSA," katanya.