Najib kembali ke mahkamah untuk perbicaraan kes 1MDB

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. - Foto Bernama
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd minggu lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan RM2.3 bilion.

Bekas Perdana Menteri ketujuh itu, yang dibebaskan dengan jaminan RM2 juta, dan para penyokongnya dilihat memakai pelitup muka sepanjang perbicaraan.

Prosiding hari ini bermula dengan peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed meneruskan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, yang memberikan keterangan sejak 23 September tahun lepas.

Selepas diajukan beberapa soalan berkaitan pengambilalihan sebuah syarikat tenaga iaitu Mastika Lagenda Sdn Bhd oleh 1MDB, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa urus niaga itu hanyalah satu wayang bagi menipu lembaga pengarah.

“Pada masa itu (2012), saya tidak tahu tetapi kini berdasarkan pengalaman, ya,” kata saksi itu.

Mastika Lagenda memiliki 75 peratus saham dalam syarikat Genting Sanyen Power Sdn Bhd (GSP), yang sebelum ini dilaporkan diambil alih oleh 1MDB selepas mendapat persetujuan menyeluruh daripada Najib.

Wan Aizuddin berkata, berdasarkan fakta, tidak ada persetujuan bertulis daripada lembaga pengarah dan Najib, yang ketika itu mewakili Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk meneruskan pengambilalihan Mastika Lagenda.

Beliau berkata, perkara yang sama berlaku bagi tawaran opsyen untuk pengambilan 49 peratus saham ekuiti dalam 1MDB Energy Holdings Ltd, anak syarikat 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral bagaimanapun tetap mengatakan bahawa beliau mendapat persetujuan menyeluruh untuk meneruskannya.

Meskipun beliau diasak berkali-kali mengenai dakwaan bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan tokoh lain yang terlibat dalam skandal 1MDB untuk menggelapkan berjuta-juta ringgit daripada syarikat itu, Shahrol Azral tetap mengatakan bahawa beliau tidak terlibat langsung dengan mereka.

Terdahulu, Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya berapa lama lagi pembelaan akan menyoal balas saksi itu dan Wan Aizuddin menjawab dua minggu.

Wan Aizuddin memaklumkan mahkamah bahawa peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan soalan balas terhadap saksi itu esok.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama