Lelaki ditemui mati dengan kesan torehan, lebam di kepala

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan cedera parah di rumahnya di Taman Senai Jaya, Senai di sini hari ini.

Kejadian tersebut dimaklumkan orang awam yang menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan mendapati ada kesan torehan di kepala, lebam di sebelah kiri kepala dan mata.

"Pemeriksaan lanjut lokasi menemui sebilah pisau lipat terselit antara ibu jari telunjuk tangan kiri mangsa yang berusia 55 tahun.

"Polis turut menemui sebatang kayu kepala katil berbentuk bulat di dalam longkang belakang rumah yang mempunyai kesan darah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mayat lelaki tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk bedah siasat.

"Seorang lelaki berusia 46 tahun yang juga rakan serumah mangsa ditahan di Jalan Senai Jaya 6, Taman Senai Jaya, Senai kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

"Kita akan membuat permohonan perintah tahanan reman dan kes ini akan siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan: