X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan tidak akan pilih 'katak politik' jadi calon

Mohd Shafie (tengah) pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin Pakatan Harapan Sabah dan UPKO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah di Pejabat Parti Warisan hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Setia kepada parti merupakan kriteria utama calon yang akan dipilih mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan dan parti sekutunya tidak akan melantik 'katak politik' untuk bertanding pada pilihan raya itu.

Beliau berkata, tidak ada guna meletak calon yang mempunyai kredibiliti, namun akhirnya berpaling tadah dan melompat parti.

“Ada muka baharu (yang akan dilantik) dan sedikit latar belakang berkebolehan dari segi pendidikan. Tetapi itu bukan kriteria utama sebaliknya kita akan memilih muka baharu bukan sahaja berkelulusan tinggi tetapi mereka yang kita tidak mahu lompat parti.

“Kita boleh letak pemegang ijazah, pakar atau doktor tetapi esok kalau mereka lompat parti, tiada gunanya. Yang penting calon mesti mempunyai kesetiaan terhadap perjuangan parti," katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai mesyuarat bersama pimpinan PH Sabah dan UPKO di sini hari ini.

Terdahulu, satu mesyuarat tertutup diadakan di pejabat Warisan di Kolombong di sini awal pagi ini yang dipengerusikan Mohd Shafie.

Antara pemimpin yang hadir ialah Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ini merupakan mesyuarat pertama Warisan dan rakan sekutunya selepas Mohd Shafie mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

Mohd Shafie berkata, perbincangan antara Warisan, PH dan UPKO dalam pembahagian kerusi akan diselesaikan dalam tempoh seminggu ini dan ia dilakukan atas semangat setia kawan.

Berhubung kesediaan pemimpin 'heavyweight' yang dahulunya merupakan ahli Parlimen sama ada akan bertanding pada PRN kali ini atau tidak, Mohd Shafie berkata, perkara tersebut akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Antara nama tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau; Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.

Dalam pada itu, pada sidang media sama, Mohd Shafie turut menegaskan bahawa pembubaran DUN Sabah adalah sah kerana mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Menurutnya, DUN Sabah terpaksa dibubarkan demi mengelakkan ketidakstabilan pentadbiran negeri disebabkan pelbagai tekanan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Tuan Yang Terutama mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan Dewan ini. Saya selaku Ketua Menteri tidak ada kuasa dalam perundangan. Saya cuma boleh beri nasihat. Nasihat boleh diambil atau ditolak tetapi kuasa mutlak dari segi enakmen termaktub kepada Tuan Yang Terutama.

“Kita telah melalui proses-proses yang lengkap dan ditandatangani oleh Tuan Yang Terutama. Selepas itu ia digazet dan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!