Bandar Fukuoka perluas hubungan persahabatan

Ahmad Faizal (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara Abd Rahim (kiri) dengan Soichiro di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - FOTO PEJABAT MENTERI BESAR
A
A

IPOH - Selepas menjalin persahabatan selama 30 tahun sejak 1989 dengan Bandaraya Ipoh, Bandaraya Fukuoka, Jepun memperluas jaringan persahabatan mereka bersama Bandar Taiping.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jalinan persahabatan itu akan bermula dengan perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan pertukaran haiwan di antara Zoo Fukuoka dengan Zoo Taiping and Night Safari.

Katanya, MoU yang ditandatangani oleh kedua-dua wakil bandar raya itu akan menjadi simbolik kepada hubungan erat di antara Bandar raya Fukuoka dengan Perak khususnya bandar Taiping.

"Pertukaran haiwan akan ditentukan kelak melalui perbincangan di antara kedua-dua zoo ini dan ia akan berlaku pada tahun ini.

"Saya harap dengan jalinan persahabatan ini, kita akan dapat perkukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak dan banyak lagi kerjasama yang boleh kita jelmakan dari masa-masa yang akan datang," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis MoU di antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Bandar raya Fukuoka di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Md Ariff dan Datuk Bandar Fukuoka, Takashima Soichiro.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan lawatan rasmi ke Bandar raya Fukuoka bagi meraikan ulang tahun persahabatan di antara bandar raya tersebut dengan Bandar raya Ipoh.

Sementara itu, Soichiro berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dapat menandatangani MoU tersebut.

Menurutnya, tahun ini sangat bermakna buat Bandar raya Fukuoka kerana menyambut ulangtahun ke-30 persahabatan dengan Bandar raya Ipoh dan melebarkan lagi persahabatan dengan Bandar Taiping.