Penjawat awam dipenjara guna dokumen palsu

Roslan dibawa ke mahkamah selepas mengaku salah atas 14 pertuduhan membuat menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Roslan dibawa ke mahkamah selepas mengaku salah atas 14 pertuduhan membuat menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang penjawat awam dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini selepas disabitkan kesalahan atas 14 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan berjumlah RM75,438.70 pada tahun 2014 dan 2015 lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Roslan Al Sidek Sulaiman, 40, hanya menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas Hakim S Indra Nehru memerintahkan kesemua hukuman berkenaan dijalankan secara serentak bermula hari ini.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan 14 bulan sekiranya didapati gagal melunaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas sebagai pembantu akauntan secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu pesanan penghantaran dan invois atas nama tiga syarikat untuk tujuan tuntutan pembayaran pembelian bahan petroleum iaitu petrol, diesel dan minyak pelincir.

Kesalahan itu dilakukan di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya Perak di sini antara September 2014 hingga Ogos 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum Seksyen 468 kanun yg sama yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ‘Azmi Yusuf manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ‘Azmi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada penjawat awam lain bahawa kesalahan itu adalah serius yang melibatkan kerugian besar kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan: