Perhilitan nafi gajah mengamuk cari anak 'hilang'

Dakwaan di media sosial yang tular sejak semalam menyatakan gajah mengamuk di Jalan Mawai Kota Tinggi, disebabkan mencari anaknya. Gambar kanan: Salman Saaban
Dakwaan di media sosial yang tular sejak semalam menyatakan gajah mengamuk di Jalan Mawai Kota Tinggi, disebabkan mencari anaknya. Gambar kanan: Salman Saaban
A
A
A

JOHOR BAHRU- Dakwaan beberapa pihak di media sosial bahawa punca gajah mengamuk di Jalan Mawai Kota Tinggi disebabkan haiwan itu mencari anaknya tidak berasas.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, dakwaan yang tular sejak semalam itu persepsi individu tertentu sahaja.

Menurutnya, Perhilitan menyelamatkan seekor anak gajah pada 14 Julai lalu yang dilaporkan berkeliaran bersendirian lebih seminggu di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi - Mersing).

"Cuma kebetulan ada dua kejadian melibatkan kematian seorang pengawal keselamatan diserang gajah pada 27 Julai dan gerai buah dimusnahkan dua ekor gajah pada 31 Julai berlaku di kawasan yang sama iaitu di Jalan Mawai menyebabkan teori tersebut ditimbulkan netizen.

"Untuk makluman anak gajah itu perlu diselamatkan bagi mengelakkan menjadi mangsa binatang buas yang lain seperti harimau atau mati kebuluran atau dilanggar kenderaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anak gajah yang diselamatkan Perhilitan Johor selepas didapati lebih seminggu berkeliaran di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi - Mersing), 14 Julai lalu.
Anak gajah yang diselamatkan Perhilitan Johor selepas didapati lebih seminggu berkeliaran di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi - Mersing), 14 Julai lalu.

Katanya, anak gajah yang diselamatkan juga akan dirawat, dijaga doktor veterinar dan diberikan susu serta makanan sesuai

"Jalan Mawai antara Batu 4 hingga Batu 14 yang berada bersebelahan hutan menjadi habitat asal gajah menyebabkan haiwan itu sering keluar dan melintas untuk mencari makan sejak dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Sikap segelintir pengguna jalan raya yang lebih berminat merakam video dan mengambil gambar gajah serta membunyikan hon kenderaan berbanding memberi laluan untuk melintas menyebabkan haiwan itu berasa terancam dan bertindak agresif," katanya.

Pada 14 Julai lalu, seekor anak gajah yang daripada terpisah daripada kawanan berjaya diselamatkan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Johor sebelum dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Pahang.