X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk gesa MB tangani isu banjir kilat

Hairul Razif menunjukkan keadaan tanaman yang diletakkan di para tinggi musnah dalam kejadian banjir di Kampung Seri Sentosa kelmarin.
A
A

IJOK - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa mencari jalan penyelesaian berhubung kejadian banjir kilat sehingga mengakibatkan beberapa rumah penduduk dilimpahi air sedalam dua meter di Kampung Seri Sentosa di sini kelmarin.

Seorang penduduk, Mastor Achil, 72, berkata, penduduk dihimpit tekanan berikutan kediaman mereka berada di kawasan rendah dan sering dinaiki air terutama jika berlaku hujan berterusan melebihi dua hingga tiga jam.

Dakwanya, penduduk ditabur janji manis pelbagai pihak kononnya dapat menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak 10 tahun lalu itu.

"Kami merayu kerajaan negeri bantulah rakyat di kawasan ini yang menderita setiap kali banjir kilat. Rumah kami dinaiki air berbau busuk, lumpur dan penuh sampah sarap," katanya kepada Sinar Harian.

Mastor yang menetap di kawasan itu sejak 45 tahun lalu berkata, penduduk berharap ada jalan penyelesaian antara penduduk dan kerajaan negeri.

"Sudah tiba masanya nasib kami yang masih menetap di sini terbela dan bukan cakap kosong semata-mata.

"Kalau kami diarah berpindah, berilah pampasan yang setimpal dengan harga tanah dan sebuah rumah yang boleh kami duduki.

"Jika tidak mampu membayar dengan nilai harga semasa, kami cadangkan kerajaan membina tebatan banjir bagi mengurangkan kejadian berulang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Hairul Razif Mohamad Seri, 37, berkata, penduduk mula hilang sabar apabila terpaksa mengambil masa lama membersihkan rumah, namun ada masanya tidak sampai beberapa hari banjir kilat kembali melanda.

Dia mendakwa pertumbuhan pesat projek perumahan baharu berhampiran rumah penduduk menjadi punca kejadian berkenaan.

"Sungai ini perlu didalamkan dan dilebarkan lagi bagi menampung air di kawasan projek perumahan yang mengalir ke sungai utama ini.

"Kita mahukan pembangunan tersusun dan bukan janji retorik semata-mata sebab difahamkan sebelum ini ada usaha untuk membuat tebatan banjir di kawasan ini.

"Bagaimanapun sehingga kini, penduduk terus mengeluh dan tidak tahu sampai bila kami terpaksa menanggung derita," katanya.

Mengulas kejadian banjir yang berlaku di saat umat Islam menyambut Aidiladha, Hairul Razif berkata, rumahnya dinaiki air selepas dia menunaikan solat sunat Aidiladha kira-kira jam 8 pagi.

"Air mula membanjiri halaman dan seterusnya melimpah masuk ke rumah hingga tanaman kami yang diletakkan di atas para tinggi turut musnah," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga sudah penat mengerah kudrat membersihkan rumah berlumpur selepas kejadian itu yang hanya kembali surut kira-kira jam 6 petang hari sama.

"Kami merayu kepada kerajaan negeri membantu selesaikan masalah ini. Jika kawasan perumahan dapat dibangunkan di kawasan berhampiran, janganlah lupa masyarakat di kampung tradisional," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!